30 August, 2010

On 3:01:00 PM by Aliza   No comments
On 10:09:00 AM by Aliza
Tanggal 28/08/2010 genab umur Nurqaireen Aliza 2 tahun.. dah cukup juga dia minum susu ibu. Alhamdulillah. so sebab nak potong kek reramai, kami balik kampung .. sonok adik sampai mengigau malam2. sekang ni, aku masih teruskan adik dengan susu ibu, harap-harap masih boleh bertahan... tapi ku cuba juga ajar dia dengan susu segar...
besday girl yang belum bangun tidur di pagi 28/08/2010

inilah kek adik.. simple jer ibu beli

ramai tukang tiup lilin dan potong kek

besday girl.. adik dah semakin besar... semakin bijak



ibu: doa ibu adalah yang terbaik untuk anak. sentiasa doakan yang terbaik untuk kak long dan adik.. begitu juga untuk papa.dengan harapan.. mendapat balasan kasih sayang yang melimpah ruah.

28 August, 2010

On 3:33:00 PM by Aliza in    No comments
Birth Announcements



ibu: apa yang penting insyallah hasrat ibu nak beri adik susu ibu penuh, akan tercapai... misi ibu akan berjaya, pengorbanan ibu akan berhasil....

26 August, 2010

On 9:16:00 AM by Aliza
Inilah cerita benar. Cerita benar seorang penulis yang Berjaya. Beginilah
kisahnya...
Entahlah apa yang selalu bermain pada fikiran ayah. Apabila saya ingin
pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak....
" Ada duit? Minta ayah sedikit.."

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat
seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah. Kalau balik
kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujurlah, isteri
dan anak-anak saya sudah faham. Alhamdulilah mereka 'sporting' dan tidak
banyak meragam.


"Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak ada
duit," Bisik saya kepada emak. Emak seperti biasa, berwajah selamba, sukar
ditembak reaksinya.

" Bagilah beberapa yang ada," cadang emak pendek.
"Takkan 5 ringgit?"

Emak mengganguk.
Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang boleh
dibeli dengan wang 5 ringgit....Tapi kerana tidak mahu menghampakan harapa
ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.

Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan
ialah apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan pulang
ke kota. Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa yang
bagi kalau bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih 'untung' 5 ringgit. Geli hati
mengenangkannya.

Begitulah selalunya tahun demi tahun. Apabila kami pulang ziarah ke kampung,
saya akan memberi pemintaan ayah. Kengkadang terlupa, tetapi ayah akan
selalu mengigatkan. Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas untuk
diberikan kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ekonomi saya
yang masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk diberikan
kepada ayah. Ironinya, ayah tetap dengan pemintaannya dan tetap tersenyum
apabila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba.
Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam
memahami hati suaminya (ayah).

Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi
sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan
setiap memasukkan duit yang melebihi jumlah saya berikan kepadanya. Saya
tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat disebalik
perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana 'tidak ada',
tetapi dia ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau
disampaikannya.


Namun, secara bertahap-tahap buku tulisan saya semakin mendapat sambutan.
Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin
membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi selepas
beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat
komen ayah ketika saya pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri

"Nanti, besarlah kereta kamu ini...." ujur ayah senyum.

Apapun saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung.
Wang saya dahulukan kepadanya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada
sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.

" Eh tak payahlah ayah..." sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi
keluarga sudah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun
perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya
ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau tidak ingin
saya merasa segan, duit diberi melalui anak.

"Kenapa, dah kaya?" usik ayah. Hendak tak hendak, duit dikocek anak tetap
diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi 'dikebas' oleh
saya. Dan dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya
berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkan ke kocek
anak saya. Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya
sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya.

Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta!. Di
samping menulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh
sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya sudah
membeli MPV utuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading.
Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun sibuk sekalipun
saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya ayah tetap memberi kepada
anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang berjaya.
Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami,
tetapi dia MEMBERI KERANA ALLAH. Mencontohi Allah al-Wahhab itu!

Anda ingin tah apa pesan penulis itu kepada saya? Ya, mari kongsi bersama :

" Kini aku benar-benar faham bahawa ibu ayah yang tua bukan beban dalam
kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat. Mereka
bukan 'liabiliti' tetapi sebenarnya aset untuk kita (walaupun istilah itu
sebenarnya kurang atau tidak tepat kerana ibubapa bukan benda). Rugi betul
siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.

"memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri. Walaupun
itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan
pulang kepada kita semula. DOA MEREKA MUSTAJAB. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w, keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa."


Baiklah, inilah sebenarnya rahsia 'perniagaan' yang jarang-jarang
diperkatakan oleh tokoh korporat. Juga tidak pernah ditulis dalam mana-mana
buku perniagaan. Masih punya ibubapa? MEMBERILAH KEPADA MEREKA. Tidak ada?
Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga? Memberilah kepada sesiapa sahaja. Kita sentiasa berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri kita sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi!

PETIKAN : 'Nota Hati Seorang Lelaki' ( Pahrol Mohd Juoi )


za: bagi duit kat ayah masa nak raya saja..itupun untuk beli baju raya adik2
On 8:36:00 AM by Aliza
Ramai yang berkata tentang ikhlas, ada yang mempertikaikan keikhlasan seseorang, ada pula yang mendakwa tindakannya dibuat secara ikhlas. Apa sebenarnya ikhlas? Benarkah manusia, khususnya umat Islam di dunia kini terlalu kurang keikhlasan?. Ikhlaskah diri kita dalam berdakwah, berpolitik, menulis, bercerita, belajar, mengajar, mendidik dan berniaga?.

Ini satu persoalan yang besar di sisi Islam dan keikhlasan memerlukan satu mujahadah besar. Ia tidak mudah dan hanya mampu dicapai KECUALI oleh mereka yang benar-benar telah berjaya menanggalkan kecintaan kepada semua jenis makhluk, sama ada ia adalah pangkat, pujian, harta, dianggap selebriti, wang dan kebanggaan.

Allah swt meningatkan :-

قُلْ إِنِّي أُمِرْتُ أَنْ أَعْبُدَ اللَّهَ مُخْلِصًا لَّهُ الدِّينَ

Ertinya : Katakanlah: ""Sesungguhnya aku diperintahkan supaya mengabdikan diri kepada Allah dengan ikhlas ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan) agama ( Az-Zumar : 11)

Nabi s.a.w pula bersabda :-

إن الله لا يقبل من العمل إلا ما كان له خالصًا، وابتغي به وجهه

Ertinya : Sesungguhnya Allah swt tidak akan menerima amalan kecuali apa yang dibuat dalam keadaan ikhlas, berkeinginan kepada wajahNya ( Al-Bukhari, no 97, kitab al-Ilm)

APA ITU IKHLAS?

Imam Abu al-Qasim Al-Qusyairi, seorang ahli tasauf yang terkemuka memeberikan definisi Ikhlas sebagai:-

إفراد الحق سبحانه في الطاعة بالقصد، وهو: أنه يريد بطاعته التقرب إلى الله سبحانه دون أي شيء آخر؛ من تصنع لمخلوق، أو اكتساب محمدة عند الناس، أو محبة مدح من الخلق، أو معنى من المعاني سوى التقرب به إلى الله تعالى، ويصح أن يقال: الإخلاص تصفية الفعل من ملاحظة المخلوقين

Ertinya: Ikhlas adalah mengesakan haq Allah swt dalam segala amalan ketaatan dengan niat, iaitu dia melakukan amalan ketaatannya hanyalah untuk menghampirkan diri kepada Allah swt, tiada apapun selain itu, iaitu mereka yang melakukannya kerana Makhluk, atau kerana ingin mendapat pujian mereka, serta kecintaan kepada pujian makhluk, atau apa jua sebab-sebab yang selain redha Allah. Boleh juga dikatakan, bahawa Ikhlas itu adalah pembersihan (niat) diri (semasa amalan) dari segala segala perhatian manusia. ( Al-Risalah al-Qusyairiah, tahqiq Abd Halim Mahmud, 1/443)

Memang mudah untuk melafazkan kata ikhlas, mudah juga untuk cuba menyakinkan diri bahawa diri ikhlas dalam perjuangan, namun untuk benar-benar memastikan hati sentiasa istiqamah ikhlas kepada Allah swt, ia bukan satu tugas yang mudah, namun ia maha penting dan penentu masa depan kita tatkala berdepan dengan Allah swt kelak.

Ada yang berkata, ketidakiklasan itu boleh terlihat dek tanda-tanda dari mulut melalui cakap-cakap dan kata-katanya, dari tulisan melalui baris ayatnya, dari tindakan melalui memek wajah dan pergerakannya.

Apapun, persoalan utama bukanlah ghairah dan sibuk meneliti keikhlasan orang lain serta mempertikaikannya, tetapi adalah meneliti dan memperbaiki diri sendiri.

PENDAKWAH MELALUI CERAMAH

Pendakwah melalui medan ceramah hari ini sangat tercabar, Bukan kerana bimbang ditangkap kerana ketiadaan tauliah, itu tidak mencabar, Atau di kurung melalui akta ISA kerana sebab yang sepatutnya anda faham, Dibuang kerja kerana dakwahnya menentang arus politik kerajaan atau membelakangkan AUKU,
Sebenarnya, apa yang lebih mencabar adalah menjaga hati untuk ikhlas. Ada yang ‘jatuh' kerana beberapa ada tujuan baru yang mengambil alih tempat ‘ikhlas' kerana Allah swt iaitu :-
· Keujuban di dalam diri : Ada penceramah yang merasa diri sebagai hero dan telah mencapai maqam pejuang berkorban persis Nabi Ibrahim a.s apabila mereka ditangkap, dipenjara dan didenda oleh pihak yang menghalang dakwah.
Malangnya, ujian itu merosakkannya, hingga dirasakan diri terlalu hebat, lalu dinafikan ketulenan pejuang lain yang belum ditangkap sebagai amatur dan bertaraf rendah. Sama ada melalui tulisan, percakapan mahupun gerak hatinya.
Lebih menyedihkan jika peristiwa halangan ini mengubah niatnya kepada untuk terus menerus dilihat gagah dan berani dalam dakwahnya. Hilang habislah tujuan Allah dari hatinya.
· Imbuhan dan bayaran : Penceramah sekali lagi digegarkan keikhlasan mereka akibat imbuhan dan bayaran. Mungkin pada mulanya ramai penceramah yang mampu berniat ikhlas kerana Allah, menyampaikan ilmu kerana menurut sunnah Rasululah s.a.w. Namun lama kelamaan, apabila nama menaik, muncul di kaca TV, di corong radio, berteleku di hadapannya para bangsawan, menteri, jutawan dan pembesar, ikhlasnya menjadi semakin terhakis.
Populariti menjadikannya semakin ‘sakit' di sisi Allah. Sebarang ceramah tanpa bayaran atau tidak menepati statusnya akan ditolak mentah atau dituntut tunggakan bayaran. Jika sekadar tambang dan kos-kos biasa, mungkin ia munasabah, namun apa yang dituntut dan diminta adalah tinggi menggunung tanpa mengira status pihak yang menjemput. Di ketika itu, Imbuhan dan bayaran telah mengambil tempat Allah swt dalam hatinya.
· Kecintaan kepada pujian : Penceramah juga diserang oleh rasa cinta kepada pujian manusia, segala isi ceramah cuba difikirkan apa yang sesuai dan disukai oleh pendengar, jika pendengar sukakan gelak, seribu satu macam ceritera lucu mengundang tawa akan dimainkan.
Jika pendengar sukakan dalil-dalil dan kata-kata ulama dan para sahabat akan dipersembahankan,jika pendengar sukakan ‘nota kaki' dan nama kitab, itu juga akan digariskan dan disebutkan dengan lancar lagak seorang mujtahid ulung.
Benar, ada yang mampu untuk terus ikhlas, menyediakan semua itu bagi menambah keberkesanan ceramahnya, membawa manusia kepada Allah swt, namun tidak sedikit yang ikhlasnya menjadi pudar, lalu semua itu disediakan agar dilihat,
‘Hebat', ‘Alim', ‘Pakar' ‘Bijak', ‘Best', ‘Sarjana', ‘Setaraf Tok Guru', ‘Persis Mujtahid' dan pelbagai lagi tujuan-tujuan salah yang dimomokkan oleh Syatian setiap hari.
Di benak para pendakwah melalui ceramah ini, sentiasa berusaha untuk ikhlas kerana Allah, namun Syaitan sentiasa berjuang merosakkan ikhlasnya dengan apa yang tersebut di atas malah berpuluh lagi cara. Ya Allah, alangkah mencabar dan sukarnya untuk mengekalkan keikhlasan dalam perjuangan melalui medium ceramah.


PENDAKWAH MELALUI TULISAN

Ada di kalangan insan yang soleh lagi baik ini, tidak berkemampuan dalam bertutur lancar dan menawan. Namun dianugerahi kelebihan menulis yang baik dan mengkagumkan. Lalu pendawkah ini mula mengorak langkah menulis buku-buku, membuka web sendiri dan blog, menyebar ilmu melalui tulisannya di forum-forum maya, majalah, buletin dan sebagainya.

Niatnya hanyalah satu, iaitu menyebarkan ilmu bagi mendekatkan manusia kepada Allah swt, redha Allah adalah objektif.

Namun, dari semasa ke semasa, objektif unggul itu boleh sahaja menjadi pudar akibat :-

a- Royalti dan Honorium

Hasrat dunia sekali lagi boleh menjadi penghalang bagi seseorang penulis untuk istiqamah dalam keikhlasan. Royalti dan honorium sudah mengambil tempat ‘Kerana Allah', tujuan dan objektif tertinggi yang sepatutnya ‘Akhirat' sudah berubah nama kepada ‘Dunia'
"Jika demikian, kita menulis secara percuma, menyerahkan manuskrip buku kepada penerbit tanpa perlu sebarang royalti dan honorium" Demikain tegas beberapa rakan pendakwah, berusaha mencapai penerusan dalam ikhlas. Mujahadah dan menjerat nafsu agar tunduk kepada niat yang tulus ikhlas.
"Tidak semestinya berjaya juga, ikhlas tidak semestinya tanpa bayaran dan honorium, ia di dalam hati" Terang saya mengingatkan diri.

Matanya mula berkerut mendengar ayat ringkas saya itu. Namun akhirnya dia terangguk-angguk tanda faham tanpa memerlukan penjelasan lanjut.
Manakan tidak, seseorang mungkin boleh membuang semua habuan harta itu untuk mencapai ikhlas, namun ikhlas belum tentu boleh wujud semudah itu.

Perasan diri ‘hebat', ‘merasa diri ikhlas kerana tidak mengambil habuan harta', rasa diri lebih ikhlas dari mereka yang menerima royalti, suka dan gembira menerima pujian orang sekeliling yang mengisbatkan dirinya sebagai ikhlas kerana tidak mengambil royalti dan honorium juga adalah ‘pembunuh' sebuah keikhlasan yang tulen.
Sebenarnya keikhlasan itu boleh wujud sama ada di ketika seseorang pendakwah menerima imbuhan wang hasil penulisan dan ceramahnya, atau juga sebaliknya. Apa yang terdetik di dalam hati serta menjadi tujuan diri, itulah jawapannya.

Jika honorium dan royalti tidak memberi kesan kepada hati dan niat asal perjuangannya, ia masih boleh mengekalkan Ikhlas di sisi Allah walau menerima gunungan royalti.

Jika pujian dan apa jua pujian orang terhadap penulisannya dan ketegasannya sehingga menolak sebarang bayaran hasil tulisan dan ceramahnya itu tidak berbekas di hati dan bermuzik indah di mindanya. Ia telah ikhlas.
Itu tandanya apa juga yang dari manusia sudah tidak memberikan kesan kepada hatinya, hanya redha dan cinta Allah yang ditagihinya. Yang lain hanyalah sampingan, wujud dan tiadanya tidak memberi kesan kepada jiwa.
Bagi individu ikhlas yang mengambil royalti, apa yang diperolehi pasti digunakan bagi menambahkan amal bakti kepada umat Islam yang kurang bernasib baik atau menjalankan tanggung jawab dan kewajiban yang tertanggung ke atas dirinya. Hasilnya kebajikan akan berganda hasil royalti dan honorium yang diterima.
Bagi yang menolak royalti serta mampu mengekal ikhlas, lalu disunyikan tindakannya itu dari pengetahuan segala macam manusia, agar tidak terganggu hatinya dengan pujian menggunung. Jika diketahui sekalipun, hatinya tidak sama sekali terbekas dengan kata-kata manis manusia, tidak pula dia merasa dan memandang rendah kepada mereka yang menerima royalti.

Orang lain tidak perlu ukur ikhlas orang lain, tidak perlu juga mempertikai atau mengiakan keikhlasan seseorang. Cukuplah masing-masing mengukur keikhlasan dirinya dan fikirkan tentangnya sentiasa.

· Pujian, nama dan selebriti

‘Aku menulis bukan kerana nama' Itulah laungan lagu yang sudah sekian lama kita dengari.

Pendakwah mungkin menulis di peringkat awalnya, hanya kerana Allah. Namun di ketika pujian mencurah-curah datang tanpa ditagih. Hatinya kian terganggu, bukan apa...

Terganggu apabila beberapa tulisannya tidak dipuji sebagaimana sebelumnya

Tatkala itu, keikhlasannya hancur. Tempatnya diambil oleh ‘Tuhan baru' iaitu ‘pujian' dan ‘sanjungan'. Redha manusia menjadi objektif barunya kini. Semuanya kerana dia menyedari sanjungan itu akan boleh membawanya kepada mencipta nama, bukunya boleh menjadi ‘best seller' kerana peminat fanatiknya itu, wang boleh mencurah jatuh ke atas ribaan.

Tatkala itu, diri sendiri seolah sudah memberi gelar kepada dirinya sendiri,

"aku sudah menjadi seorang selebriti kerana tulisanku"

Kalau tidak diakui sendiri, tatkala ada rakan lama yang berkata :

"wah!, engkau sudah jadi selebriti sekarang ini, tahniah"

Dengan kadar beberapa saat minda, hati dan perasaannya mengakui hakikat itu dan merasa sedikit bangga dengannya. Tanpa disedari, mengakui keselebritian diri itu tanda kita sedang ditipu oleh dunia. Lebih ‘sakit' apabila kebanjiran manusia yang membeli buku, melawat web atau blog, yang menjadi rakan di facebooknya, kemunculannya di TV dan Radio dilihat sebagai indikasi bahawa dirinya sudah layak bergelar ‘selebriti', ‘public figure' yang menggembirakan.

Apa yang patut dibuat sepatutnya adalah, hati wajib menafikannya serta segera menarik hati dan jiwa kepada persoalan berikut:

"Adakah aku sudah berjaya menjadi selebriti atau ‘public figure' penulis (atau penceramah) di sisi Allah, pada pandangan Allah?, Bukankah itu tujuan asal kita?"
Saya teringat kata-kata sahabat besar, iaitu Ibn Mas'ud r.a , ketika beliau keluar berjalan, kerap ada ramai yang mengikutnya, bagi mendapatkan ilmu darinya, lalu beliau berkata kepada khalayak yang mengikutinya:

علام تتبعوني؟ فوالله لو تعلمون ما أغلق عليه بابي ما اتبعني منكم رجلان

Ertinya : Atas sebab apakah kamu semua mengikutiku? Demi Allah kalau kamu tahu apa yang aku lakukan dibalik pintuku yang tertutup nescaya tiada siapa yang akan mengikutiku lagi. ( Ihya Ulumiddin, Al-Ghazzali & Tafsir Ibn Kathir, 6/343)

Justeru, maka sedarilah diri yang mudah lupa, Syaitan sentiasa berusaha menghancurkan kewarasan iman kita. Ikhlas kita sering menjadi sasaran sang Syaitan, untuk dilupuskan. Bukankah ia sebuah ujian yang sukar buat para pendakwah. ? Ya tentunya, malah mungkin lebih sukar dari ditangkap dan dipenjara jasad. Hati yang terpenjara dengan niat selain Allah adalah sebesar-besar kegagalan manusia, yang sepatutnya menjadi hamba dan khalifah Allah swt.

· Ahli akademik, Pangkat dan gelaran

Sebahagian pendakwah dari kalangan penulis terdiri dari golongan bijak pandai di Universiti, khususnya di fakulti-fakulti yang melibatkan Islam. Mereka banyak mengkaji dan menulis hasil kajian mereka dan seterusnya disiarkan melalui buku, jurnal, pembentangan di konferen dan seminar dan sebagainya. Niat asal tidak lain tidak bukan hanya mencapai redha Allah dan mencerahkan manusia kepada jalan keredhaan Ilahi. Merungkai yang kusut, menjernih yang keruh, melurus yang bengkok dan memurnikan yang bergolak.

Namun, sebagaimana pendakwah yang lain, kumpulan ini juga turut digoda dan akhirnya niat ikhlas tersasar dari landasannya.

Seorang pensyarah universiti terlihat saya sedang menulis dengan tekun lalu menyapa :

"Tengah menulis apa?"

"Tengah siapkan sikit lagi buku baru saya" jawab saya ringkas

"Buku tentang apa? Rugi kalau tulis sekarang ni, tunggulah dah siap PhD nanti. Tulis buku sekarang ini tak masuk dalam kiraan merit" katanya tanpa rasa malu dan segan.

"Berkenaan kewangan Islam, ooo ye ke tak masuk dalam merit, tapi tak mengapalah" jawab saya semula, cuba ambil hati beliau yang sibuk memikirkan soal merit.

"Tapi kalau rasa nak jual buku dan ambil royalti aja, pun ok juga" katanya lagi sambil tergelak kecil dan kemudiannya berlalu pergi.
Saya hanya mampu memberikan senyuman tawar kepadanya.

Saya sebenarnya sedikit kesal dengan mentaliti pensyarah sedemikian, jelas sungguh apa yang dalam benaknya hanyalah merit dan wang. Tidak terfikir olehnya kalau ada seseorang menulis kerana Allah dan mencapai redha Allah walau tidak peroleh merit ataupun royalti. Mungkin agaknya terlalu pelik di zaman ini? Mari sama-sama kita berusaha mencapainya..menjadi orang pelik di akhir zaman !

Memang ramai dari kalangan ahli akademik yang menulis kerana mengejar merit untuk melayakkan diri mendapat kenaikan gaji dan pangkat. Kerap kali terdengar perbincangan di kalangan mereka hanya berkisar tentang naik pangkat, mesti capai prof madya segera, naik gred gaji, jurnal antarabangsa dan seumpamanya,

Justeru itu, tulisannya digubah indah lagi rumit dipenuhi bahasa-bahasa akademik, katanya "khas untuk pembacaan bijak pandai". Ya itu perlu bagi menunjukkan kebijaksanaannya. Jurnal-jurnal menjadi ‘kegilaan' ahli akademik di zaman ini, begitu banyak senarai jurnal dalam catitannya, sama ada jurnal kelas tinggi, sederhana dan rendah.

Hidupnya di bilik sejuknya digadaikan untuk menghasilkan kajian dan penulisan cemerlang di mata majlis editor pakar sesebuah jurnal yang dicintainya. Jika tidak sedemikian, ada pula yang menulis untuk konferen besar, mulanya niat adalah untuk mengembangkan ilmu kepada masyarakat antarabangsa, agar mereka turut mendapat redha Allah, namun malang di pertengahan jalan, niat tersasar.

Populariti serta networking yang ditagih dalam konferen dan seminar besar yang dihadirinya, semua diniat untuk menambah kenikmatan dunia. Ya, harapannya untuk menaikkan pencapaian diri di dunia dengan kepujian, dilihat 'berjaya oleh sanak saudara dan taulan. Tidak lupa juga untuk membawa pulangan harta juga. Akhirnya, niat ikhlas kerana Allah menjadi semakin terpadam, sedikit demi sedikit hingga tidak tinggal satu apapun amalannya yang dilihat oleh Allah swt.

PENDAKWAH MELALUI POLITIK, JAWATAN DAN PANGKAT

Ada sekumpulan pendakwah, berjuang Islam dan mencari redha Allah melalui jalan politik, jawatan yang dipegang yang yang ‘ingin dipegang'.

Di dalam hati mereka seolah tertulis, ingin melaksanakan yang terbaik untuk mencapai maqam terbaik di sisi Allah, lalu jalan ini diambil selain jalan-jalan sampingan yang lain juga turut digunakan.

Namun liciknya Syaitan, dengan mudah sahaja seorang pendakwah Islam melalui medium politik boleh jatuh tersungkur di sisi Allah. Akhirnya dia berjuang bukan lagi kerana Islam dan redha Allah, tetapi kerana kecintaan kepada penyokong yang ramai, pangkat, pejabat besar dan puja puji orang bawahan.
Lebih parah, apabila dipandang hina semua pendakwah yang tidak berjuang sepertinya atau ‘ tidak berjuang melalui jalan politik'. Dirasakan mereka itu semua bacul, penakut, sebahagiannya munafiq, tercicir di jalan dakwah, hanya ingin berjuang dalam comfort zone, pendakwah ‘mee segera' dan pelbagai lagi perasaan benci dan gelaran buruk kalau boleh disebatikan dengan pendakwah yang tidak sepertinya.
Tatkala itu, hancurlah amalannya, bukankah telah disabda Nabi s.a.w bahawa ‘ujub itu menghancur amalan. Lebih jauh dari itu, digelar pula dirinya sebagai mujahid, pejuang Islam tulen atau pelbagai gelaran lain bagi menunjukkan dirinya sedang berjuang dengan gagah berani lagi sengit. Tidak seperi pendakwah lain.

Sepatutnya, jika gelaran ‘mujahid' itu diberi orang, janganlah dia terkesan dengannya, kerana dirinya mungkin dilihat pejuang di sisi manusia, namun belum tentu di sisi Allah. Orang yang berjuang boleh berdoa agar tergolong di kalangan pejuang, namun untuk melabelkan diri sebagai ‘pejuang', itu bukan caranya. Biar Allah sahaja menentukan kita adalah pejuang atau tidak. Tugas kita adalah sentiasa memastikan kita layak melalui ikhlas dan rendah diri.
Cabaran pendakwah melalui medan politik memang besar, ia boleh datang dari pihak sekular yang membencinya, lalu digunakan kuasa untuk menekan dan mengancamnya. Ia juga boleh datang dari Syaitan durjana yang jauh lebih professional dari manusia yang terlihat dek mata.
Boleh sahaja, perjuangan itu tersasar kerana keinginan kepada ‘kuasa' terlebih dari sepatutnya. Tatkala itu keikhasannya pudar dan semakin terpadam. Akhirnya takala dia sudah memegang kuasa, jawatan, apa yang dijanjikan kepada Allah sebelum ini dilupakan, kerjanya untuk mencapai redha manusia dan pengundinya menjadi semakin dominan berbanding redha Allah. Tatkala itu hancurlah dia pada pandangan Allah swt.

PENDAKWAH MENUNTUT ILMU

Selain berdakwah dengan mengajar, pendakwah juga sentiasa berterusan belajar dan terus belajar. Hasil ilmu asas yang baik dalam diri, dijadikan modal untuk meneruskan pembacaan dan galian ilmu yang tiada tara dalamnya.



Namun, seseorang yang menuntut ilmu sering diingatkan nabi sa.w.w agar berterusan menjaga keikhlasan. Ilmu yang dicari dan digali dengan niat menunjuk lebih pandai dan alim, jaguh berdebat, mengelirukan orang ramai, menutup kesalahan diri dan seumpamanya, akan pasti membuahkan ilmu-ilmu yang memporak perandakan masyarakat, bukan menyatukannya.



Bukankah ilmu sepatutnya membawa kepada Allah, dan semua pihak yang bersama Allah akan bersatu padu. Itulah formula yang ditegas oleh Allah swt :

وَأَلَّفَ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ لَوْ أَنفَقْتَ مَا فِي الأَرْضِ جَمِيعاً مَّا أَلَّفَتْ بَيْنَ قُلُوبِهِمْ وَلَـكِنَّ اللّهَ أَلَّفَ بَيْنَهُمْ

Ertinya : Yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah mempersatukan hati mereka ( Al-Anfaal : 63)



Namun hari ini, Negara kita semakin ramai pendakwah dan ilmu yang digali dari pelbagai jenis Negara dan guru. Malangnya, manusia dan umat Islam khususnya tidak semakin tenang, tetapi semakin bergolak. Lebih tinggi ilmu mereka ini, lebih bergolak dan berpecah orang di bawahnya. Kerana apa?



Banyak sebabnya, boleh sahaja menyalahkan Syaitan dalam hal ini, namun tidak kurangnya adalah si ilmuan, pendakwah dan penuntut ilmu yang menuntut bukan ikhlas kerana Allah, tetapi atas kepentingan diri sendiri dan kumpulan yang dicenderunginya.

Dirinya merasakan sedang berjuang habis-habis menghapuskan kemungkaran dan kekeliruan dalam agama.



Dirasakan dirinya sedang adalah sentiasa di pihak yang benar lagi tepat. Hingga kebenaran yang dirasakan berada di pihaknya itu menghalalkan dirinya untuk menyesat, mengkafir, membid'ahkan dan menghukum orang dan pihak lain. Seolah tiada lagi ruang dan kemungkinan, kebenaran berada di pihak yang satu lagi.

Akhrinya, syaitan mengambil alih, mengubah niatnya dari menuntut ilmu secara ikhlas untuk mencapai redha Allah kepada menuntut ilmu agar boleh mempertahankan kumpulannya, ideanya, maruahnya, dan periuk nasinya. Lalu malang mereka...apakah yang boleh menyedarkan mereka ? Wallahu'alam.

KESIMPULAN

Tulisan ini sebenarnya lebih kepada peringatan buat sendiri. Cuma ia disiarkan untuk dimanfaatkan oleh mana-mana rakan pendakwah yang sudi mengambil manfaat.

Ia merupakan peringatan kepada salah satu cabaran terbesar buat para individu yang menceburi bidang dakwah, namun terlupa akan cabaran ini. Akhirnya minda dan hati, menjadi sarang yang busuk dek kuman dan virus Syaitan. Bimbang matinya kita kelak, merasa diri sudah berjuang dan berdakwah tetapi dilihat SEBALIKNYA oleh Allah swt.

Sebuah hadis yang sangat memberi kesan kepada jiwa, sejak dahulu lagi, iaitu :-

إن أول الناس يقضى يوم القيامة عليه رجل استشهد, فأُتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عمِلتَ فيها؟ قال: قاتلت فيك حتى استشهدت, قال: كذبت, ولكنك قاتلت لأن يقال: جريء, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار. ورجل تعلم العلم وعلّمه, وقرأ القرآن, فأتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عملت فيها؟ قال: تعلمت العلم وعلّمته, وقرأت فيك القرآن, قال: كذبت, ولكنك تعلمت العلم ليقال: عالم, وقرأت القرآن ليقال: هو قارئ, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه حتى ألقي في النار. ورجل وسّع الله عليه, وأعطاه من أصناف المال كله, فأتي به فعرفه نعمه فعرفها, قال: فما عملت فيها؟ قال: ما تركت من سبيل تحبّ أن ينفق فيها إلا أنفقت فيها لك, قال: كذبت, ولكنك فعلت ليقال: هو جواد, فقد قيل, ثم أمر به فسحب على وجهه, ثم ألقي في النار

Maksudnya (ringkasan terjemahan) :

Antara yang terawal diadili di hari qiyamat kelak adalah mereka yang mati syahid. Kemudian ditanya kepada mereka : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya : Aku telah berjuang untukMu (wahai Allah) sehingga mati syahid

Dibalas : Kamu berbohong, tetapi kamu berjuang untuk digelar "SANG BERANI"

maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.

Ditanyakan kepada (orang kedua) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya : "Aku mempelajari ilmu, mengajarkannya dan membacakan keranaMu Al-Quran"

Dijawab semula : Kamu berbohong, kamu mempelajari ilmu agar kamu boleh digelar ‘ALIM, kamu membaca Al-Quran agar digelar "QARI" maka dikatakan, telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka.

Ditanyakan kepada (orang ketiga) : Apakah yang kamu telah perbuat (amalan di dunia dahulu)?

Jawabnya : "Tidak aku sesuatu yang engkau sukai untukku dermakannya kecuali telah aku dermakannya keranaMu"

Dijawab semula : "Kamu berbohong kamu mendermakannya agar kamu digelar "DERWAMAN"

maka dikatakan kepada Malaikat, lalu telah ditarik semula amalannya dan dicampakkan ke mukanya dan dilontarkan dia ke dalam neraka ( Riwayat Muslim, no 3527, Kitab al-Imarah)

Semoga kita semua dijauhkan kita semua dari racun hati oleh si musuh Allah yang sentiasa bekerja keras untuk istiqamah atas landasan ikhlas yang sebenarnya. Bagi sesiapa yang telah berjaya ikhlas, tiba-tiba dipuja dan puji oleh manusia atas sumbangan dan kebaikannya, segala itu tidak memberikan kesan kepada kecintaan dan niatnya yang ikhlas kepada Allah. Mereka itulah yang disebut dalam hadis:-

أرأيت الرجل يعمل العمل من الخير، ويحمده الناس عليه؟ قال: "تلك عاجل بشرى المؤمن

Ertinya : Ditanya kepada Nabi s.a.w berkenaan seorang yang berbuat amal kebaikan, tiba-tiba manusia memujinya?. Jawab baginda : Itulah ganjaran gembira yang didahulukan buat para mukmin" ( Riwayat Muslim)

Ibn Qayyim pernah berkata berkata : "Amal tanpa keikhlasan seperti musafir yang mengisi kantong dengan kerikil pasir. Memberatkannya tapi tidak bermanfaat."

Benarlah, bahawa ikhlas bagi adalah satu ujian yang lebih malah sangat sukar bagi seorang pendakwah dan mukmin. Bagi lagi medium yang diceburi pendakwah termasuklah seni, drama, nasyid dan pelbagai lagi. Namun semua akan menghadapi cabaran besar ikhlas, ia sebuah cabaran yang sangat sukar...
Sekian
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net


On 8:28:00 AM by Aliza
Semalam hari ke 15 puasa. kami 3 beranak dah rasa boring makan kat umah, so ibu dengan rela hati bawa anak-anak g berbuka kat MB Nilai 3... letih melayan dua beradik nih huhuhu

ni pesen baru adik bila bergambar

kak long plak dah tak sabar2 nak baca doa berbuka

dua beradik yang lain perangai

kak long oder burger, adik ayam goreng

ibu makan bubur jer.. papa??? "cari duit lebih untuk raya"

dah tak sabar tunggu azan


kak long siap baca doa kuat-kuat lagi

ini bubur ibu.. makan jer apa yang ada

nengoklah budak yang nak masuk 2 tahun nih

dah nak mula makan


pesan za: bulan puasa adalah bulan orang berebut-rebut buat amalan mencari pahala lebih....

25 August, 2010

On 10:13:00 AM by Aliza
Besday boy

pemotong kek yang setia


kek pilihan anak-anak


nota za: hari2 adalah hari istimewa untuk anak-anak.

24 August, 2010

On 8:46:00 AM by Aliza
Dari Ibni Abbas r.a ia berkata:

Sabda Rasulullah "Sesungguhnya aku telah meninggalkan pada kamu dua
perkara yang kamu tidak akan sama sekali sesat selama mana kamu
berpegang kepada keduanya, kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya."

(Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim)

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan

Oleh

 Zaharuddin  Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran
yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang
terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah
disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala
objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang
Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca
tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang
diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan
kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan
umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja
(bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa
sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti
mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia
dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara
yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam,
Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya
kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya :
"sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia
berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir
malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari
mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah
bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut
bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula
menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469).
Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai
objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini
satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya
adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat
malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika
waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar"
(Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai
Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ;
jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu"
( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan
; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan
yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi
ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang.
Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa
seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini
jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa.
Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat
fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang
disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara
berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah.
Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat
utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid
adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap
ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di
dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan
itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari
dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat
dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat
Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan
mengurangkannya di Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.
Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut
berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami'
as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur. Ini adalah
kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren'
yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu
sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur,
tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan
lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari
itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah
sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)

10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini
nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid,
malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan
dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat
mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah
buat lelaki ketika di masjid.

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta
haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran,
pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan
yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status
orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah
dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di
bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal
terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan :-

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ
إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ
حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى
يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Ertinya :  menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam
perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di
mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai
Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya
haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana
Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis
sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa
sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram,
insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar,
kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa
meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan
Al-Basri.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu
lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW
telah menyebut :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم

Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang
adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi"
( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir :
Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka
berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau
hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no
1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

17 Oktober 2006

pesan za: selalu bermalasan di siang hari bulan puasa, malam pun
selalu malas, asik nak tido jer.. Subhanallah...

20 August, 2010

On 11:36:00 AM by Aliza   No comments

Bayi perempuan dalam beg ditemui di hentian bas

JOHOR BAHRU 22 Julai – Dari tong sampah ke semak sehinggalah dalam sungai, gejala buang bayi terus berlaku.
Terbaru pagi ini, seorang bayi perempuan ditinggalkan dalam sebuah beg dekat tempat menunggu bas berhampiran Hospital Sultan Ismail di sini.
Seorang pekerja kilang wanita yang sedang menunggu bas di tepi Jalan Persiaran Mutiara Emas di sini mengesyaki sesuatu apabila melihat beg itu bergerak-gerak lalu menghampirinya.
Menurut wanita berusia 57 tahun yang enggan dikenali itu, dia memberanikan diri membuka beg tersebut dan alangkah terkejutnya apabila menemui seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat di dalamnya.
Bayi malang yang ditemui pukul 6.40 pagi itu segera dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Zainuddin Yaacob berkata, bayi itu berkulit cerah tetapi keturunannya masih belum dapat disahkan.
"Kita percaya bayi itu baru sahaja dilahirkan awal pagi ini sebelum diletakkan dalam sebuah beg berhampiran hospital," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Zainuddin, bayi tersebut kini dirawat di hospital berkenaan dan keadaannya dilaporkan stabil.
Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di talian 07-2218999 bagi membantu siasatan.
Pihaknya sedang mengesan individu yang terlibat membuang bayi tersebut dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.

Pemuda tanam bayi dihukum penjara dua tahun

MELAKA 17 Jun – Akibat menyembunyi dan menanam bayi lelaki yang baru dilahirkan pada 12 Mei lalu, seorang remaja, Muhammad Safiuddin Mohd. Zahari dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Majistret Muhamad Faizal Ismail turut menggenakan denda RM8,000 kepada Muhammad Safiuddin, 19, selepas remaja lelaki itu dan pasangannya, seorang pesalah juvenil berusia 15 tahun mengekalkan pengakuan bersalah mereka atas tuduhan tersebut.
Muhamad Faizal yang membuat keputusan di kamarnya turut mengarahkan remaja perempuan itu membayar jaminan bon sebanyak RM2,000.
Pesalah juvenil terbabit turut dikenakan syarat wajib berada di rumah sebelum pukul 6 petang selama dua tahun dan dikehendaki melaporkan diri di balai polis berhampiran setiap dua bulan sekali selama dua tahun.
Ketika pertama kali didakwa di mahkamah pada 18 Mei lalu, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan cara menanam mayat bayi itu di tepi sebatang sungai di Taman Melaka Baru di sini.
Mengikut pertuduhan, pasangan itu didakwa bersama-sama melakukan kesalahan itu antara pukul 12 dan pukul 12.30 tengah hari, 12 Mei lalu.
Mereka dituduh mengikut Seksyen 318 dan 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas prosiding tersebut, Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahida Md. Nor memberitahu, keputusan menjatuhkan hukuman penjara maksimum itu dibuat memandangkan kes tersebut adalah berat.
Ujarnya, Muhamad Faizal menyatakan hukuman setimpal yang dijatuhkan bukan hanya untuk pesalah semata-mata tetapi lebih kepada memberi pengajaran kepada masyarakat tentang kesalahan serius yang dilakukan itu.
Kata pendakwa raya itu lagi, ini kerana pada pandangan Muhamad Faizal, kedua-dua tertuduh bukan sahaja melakukan hubungan seks tanpa nikah malah menyembunyikan kelahiran bayi mereka dan secara tidak langsung menyebabkan bayi itu meninggal dunia.
Sementara itu, sebelum hukuman dijatuhkan, Farah Wahida menghujahkan bahawa perbuatan kedua-dua tertuduh bukan sahaja memberi impak negatif kepada masyarakat malah lebih teruk lagi, kedua-dua tertuduh mempunyai rancangan untuk membuang bayi mereka.
"Kedua-dua mereka telah merancang untuk membuang bayi itu dengan bukti lokasi bayi ditanam jauh daripada orang ramai termasuk sebuah peralatan cangkul yang digunakan untuk menggali lubang," katanya.
Turut hadir dalam prosiding tertutup itu ialah dua penasihat dari Mahkamah Juvenil iaitu Rizal Abdullah dan Zainon Mohd. Ali yang dilantik oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pasangan remaja mengaku salah tanam bayi

MELAKA 18 Mei – Tindakan kejam sepasang remaja menanam mayat bayi mereka yang baru dilahirkan di tepi sebatang sungai, enam hari lalu telah mengheret mereka berdua ke Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Ibu bayi itu, seorang remaja berusia 15 tahun dari Durian Tunggal, Alor Gajah dan teman lelakinya, Muhammad Safiuddin Mohd. Zahari, 19, dari Taman Melaka Baru mengaku bersalah secara bersama-sama menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dan mengebumikannya di tepi sebatang sungai dekat Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini.

Kedua-dua mereka yang bertubuh kecil dituduh melakukan kesalahan itu di antara pukul 12 dan 12.30 tengah hari, 12 Mei lalu.

Mereka yang tidak diwakili peguam bela didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dari dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Majistret Muhammad Faizal Ismail menetapkan 17 Jun ini untuk menjatuhkan hukuman dan fakta kes sementara menunggu laporan akhlak kedua-dua tertuduh dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri.

Beliau juga membenarkan pasangan remaja itu masing-masing dibebaskan dengan ikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latif menawarkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh.

Muhammad Safiuddin memohon mahkamah mengurangkan jumlah wang jaminan yang ditawarkan dengan alasan dia masih belajar dan sedia untuk berubah.

"Saya mohon diberi peluang kedua. Saya akan berubah dan ingin meneruskan pelajaran," katanya.

Teman wanitanya yang kelihatan menggigil ketika di mahkamah memakai dua lapis baju T, stokin dan berselipar juga memberi alasan sama iaitu masih belajar.

"Ibu saya juga merupakan ibu tunggal selain adik-adik lain juga masih sekolah," katanya.

Kedua-dua tertuduh kemudian dibebaskan selepas dijamin oleh ibu masing-masing.

Muka hadapan akhbar Utusan Malaysia hari ini melaporkan pasangan remaja tersebut yang bertindak menyembunyikan kelahiran anak mereka dengan cara menanamnya di tebing Sungai Melaka di Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini pada Rabu lalu.

Kejadian itu mula disedari oleh ibu kepada remaja perempuan terbabit yang terkejut apabila mendapati anaknya itu dalam keadaan berlumuran darah dan terus membawanya ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan.

Sebaik sahaja disahkan anaknya baru melahirkan seorang bayi, ibu berusia 30-an itu kemudian membuat laporan polis sebelum polis berjaya menahan remaja lelaki terbabit.
Remaja tanam bayi

MUHAMMAD Safiuddin Mohd. Zahari, 19, dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Alor Gajah untuk dihadapkan di Mahkamah Majistret Melaka atas tuduhan menyembunyikan kelahiran seorang bayi lelaki dengan cara mengebumikannya, di Alor Gajah, Melaka, 18 Mei. – Utusan/ABDUL RAZAK LATIF

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

pengarang@utusan.com.my

MELAKA 17 Mei – Bagaikan bermusim, gejala buang bayi kini seperti tiada penghujungnya.Ada yang dihanyutkan ke sungai, dibakar, disumbat ke dalam lubang tandas, dibuang ke longkang dan dicampak ke tempat pembuangan sampah.Semuanya ini menimbulkan persoalan bilakah episod kejam itu akan berakhir.Ketika masyarakat masih diselubungi rasa simpati, seorang lagi bayi lelaki menjadi mangsa kekejaman ibu bapanya.Yang mengejutkan, dia adalah anak kepada pasangan remaja yang baru berusia 15 dan 19 tahun.Mayat bayi itu ditanam berhampiran Sungai Melaka selepas dikatakan meninggal dunia di Taman Melaka Baru, Batu Berendam di sini pada Rabu lalu.Difahamkan, sebaik sahaja dilahirkan, bayi yang cukup sifat itu masih hidup tetapi dipercayai meninggal dunia sebelum ditanam. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka, Asisten Komisioner Mohd. Adnan Abdullah berkata, kejadian itu disedari ibu kepada remaja perempuan terbabit selepas pulang dari tempat kerjanya pada Rabu lalu."Wanita berusia lingkungan 30-an itu terkejut apabila mendapati anak gadisnya yang baru berusia 15 tahun dalam keadaan berlumuran darah dan terus membawanya ke hospital berhampiran untuk pemeriksaan," katanya di sini hari ini.Tambahnya, doktor yang membuat pemeriksaan kemudian mengesahkan remaja perempuan yang masih bersekolah itu baru sahaja melahirkan seorang bayi."Terperanjat dengan kata-kata doktor itu, ibunya kemudian membuat laporan polis pada pukul 2.30 petang hari yang sama," katanya.Susulan daripada itu, Mohd. Adnan memberitahu, polis menahan teman lelaki pelajar perempuan terbabit yang merupakan penuntut sebuah pusat pengajian tinggi di Terengganu.Tambahnya, hasil soal siasat terhadap remaja lelaki berusia 19 tahun itu, polis pergi ke lokasi tempat mayat bayi tersebut ditanam pada pukul 4 pagi keesokan harinya."Polis kemudian menemui mayat bayi yang ditanam sedalam 0.8 meter di tebing sebatang sungai sebelum membawanya ke Hospital Melaka untuk dibedah siasat."Siasatan mendapati bayi lelaki yang cukup sifat itu masih hidup ketika dilahirkan selain terdapat beberapa kesan lebam di bahagian kepala," katanya.Berikutan itu, polis menahan pasangan terbabit di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran. Mereka akan didakwa di Mahkamah Majistret Alor Gajah esok.
Lagi mayat bayi ditemui

Oleh ANGELINA SINYANG

pengarang@utusan.com.my

MAYAT bayi lelaki bertali pusat ditemui hanyut di Sungai Klang, Kampung Bukit Lancung, Puchong, semalam.

SUBANG JAYA 6 Mei – Gejala buang bayi kini menjadi seolah-olah tiada kesudahan. Ketika masyarakat bimbang dan simpati, satu lagi mayat bayi baru lahir ditemui hanyut di Sungai Klang berhampiran Kampung Bukit Lancung, Puchong di sini hari ini.

Penemuan mayat bayi lelaki yang masih bertali pusat dan berkeadaan bogel itu menyusul selang dua hari selepas kes seorang bayi lelaki ditemui ditinggalkan di sebuah pondok berhampiran Surau Umudiah, Kampung Batu 29, Jenderam Hulu di Sepang.

Mayat bayi yang cukup sifat itu dipercayai dilahirkan kira-kira 24 jam lalu ditemui oleh dua lelaki yang ingin memancing di sungai berkenaan pada pukul 12 tengah hari.

Ketua Polis daerah, Asisten Komisioner Zainal Rashid Abu Bakar berkata, semasa turun ke sungai, dua lelaki yang juga penduduk Kampung Bukit Lancung itu ternampak satu objek mencurigakan terapung atas air.

Beliau berkata, mereka kemudian mengambil objek tersebut untuk diperiksa dan terkejut mendapati ia adalah mayat bayi lelaki.

"Dua lelaki terbabit kemudian membawa mayat itu ke tepi sungai dan membalutnya dengan kain sebelum menghubungi polis memaklumkan mengenai kejadian itu," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya di sini hari ini.

Zainal Rashid berkata, siasatan awal mendapati bayi malang itu dilahirkan kira-kira 24 jam yang lalu kerana masih bertali pusat.

Beliau berkata, polis percaya bayi terbabit dicampakkan ke dalam sungai sebaik sahaja dilahirkan dan mayatnya dihanyutkan arus sehingga ke Kampung Bukit Lancung.

Katanya, tempat di mana bayi itu dicampak belum dapat dikenal pasti kerana Sungai Klang mengalir dari Kuala Lumpur hingga ke Klang.

"Bayi lelaki ini cukup bulan, sempurna sifat dan berkulit cerah tetapi bahagian kepalanya bengkak dipercayai akibat terlanggar benda keras semasa dihanyutkan.

"Kita mengucapkan terima kasih kepada penduduk yang prihatin apabila mengangkat mayat bayi itu dari sungai kerana jika dibiarkan mungkin ia dihanyutkan ke tempat lain dan tidak ditemui memandangkan arus ketika itu deras," katanya.
Ingatkan bunyi kucing, rupanya bayi menangis

Seorang bayi lelaki lengkap berpakaian yang ditinggalkan di sebuah pondok di Sepang, semalam.

SEPANG 4 Mei – Mulanya disangkakan bunyi kucing mengiau. Tetapi rupa-rupanya suara bayi menangis.
Itulah yang dialami Aminah Muhamad, 56, yang menemui seorang bayi lelaki di sebuah pondok berhampiran Surau Umudiah, Kampung Batu 29, Jenderam Hulu di sini hari ini.
Dia yang sedang memotong rumput di hadapan rumahnya sebelum itu tidak dapat mengagak bunyi seperti kucing mengiau itu adalah tangisan seorang bayi.
"Disebabkan perasaan tidak puas hati, saya terus menuju ke pondok yang jaraknya hanya beberapa meter dari rumah.
"Terkejut dan menggigil saya apabila melihat seorang bayi lelaki lengkap berpakaian yang hanya diletakkan di atas sehelai kain batik," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Sementara itu, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Sepang, Asisten Supritendan Zaihairul Idrus berkata, bayi lelaki berumur sebulan itu dipercayai keturunan Melayu.
"Bayi itu ditemui pada pukul 7 pagi ini dalam keadaan sihat dan tiada sebarang kesan kecederaan pada tubuhnya.
"Dipercayai bayi malang itu ditinggalkan selama dua jam sebelum ditemui," katanya.
Zaihairul berkata, bayi berkenaan kini ditempatkan di wad kanak-kanak Hospital Serdang.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kes pembuangan bayi boleh menghubungi IPD Sepang di talian 03-87774222.

Bekas pelajar UiTM mengaku buang bayi

KUALA TERENGGANU – Seorang bekas pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Chendering, dekat sini mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dakwaan membuang bayi lebih dua tahun lalu.
Tertuduh, Zarina Sulaiman, 21, dari Kampung Felda Cherul, Kemaman, mengaku melakukan perbuatan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mohd. Yusoff Yunus.
Mengikut fakta kes, Zarina dituduh secara rahsia telah membuang mayat seorang bayi perempuan yang dilahirkan olehnya sama ada telah mati sebelum, semasa, atau selepas dilahirkan olehnya dan dengan sengaja telah menyembunyikan kelahiran bayi itu.
Dia dituduh melakukan melakukan perbuatan itu di Asrama Sutera UiTM Cawangan Chendering, Kubang Ikan, Chendering, dekat sini, antara pukul 11 malam dan 12 malam, 29 Jan 2008.
Dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun.
Mahkamah kemudian menetapkan 26 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan sosial tertuduh dan menawarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,500 dengan seorang penjamin.
Bagaimanapun, tertuduh tidak mampu membayar wang ikat jamin tersebut dan di hantar ke Penjara Pengkalan Chepa.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Insp. Marzita Subaker. – Bernama

Oleh Mohd Fadly Samsudin

HILANG akal! Itu gambaran sikap melampau remaja yang terjerumus dalam aktiviti seks luar nikah sehingga 'bunting' anak haram lalu membuang atau membunuh zuriat itu tanpa berperikemanusiaan.

SIASAT...anggota polis mengeluarkan mayat bayi yang ditemui terbenam di tepi pantai

TIDAK BERHATI PERUT...bayi yang dibungkus dengan plastik hitam diletakkan di tempat pembuangan sampah di Taman Wahyu, Kepong.

Kes pembuangan bayi kian menjadi-jadi dan lebih memalukan, jenayah itu dilakukan remaja Melayu beragama Islam yang dikatakan memiliki adab serta akhlak yang tinggi. Pelik kerana hari ini masyarakat mempunyai tahap pemikiran yang baik, asas agama kuat, tinggal dalam suasana aman dan damai dan penuh ciri ketimuran. Tetapi, mengapa perkara ini masih berlaku? Jika dikaji, memang tidak dinafikan perhubungan seks bebas mendorong gejala pembuangan bayi. Apabila sudah mengandung dan bagi mengelak malu kepada keluarga, cara mudah ialah membuang atau membunuh bayi itu.
Sudahlah melakukan dosa berzina, selepas itu tergamak membunuh zuriat sendiri tanpa rasa bersalah, lebih buruk berbanding haiwan.
Allah s.w.t berfirman yang bermaksud: "Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat." (Surah Al-Israa' ayat 32) Memang benar manusia secara fitrah memerlukan seks. Justeru, Islam menggalakkan manusia berkahwin supaya hubungan yang sebelumnya haram menjadi halal.
Bayangkan wajah kudus zuriat yang dilahirkan, adakah si ibu sanggup membunuh makhluk itu sedangkan dia bersusah payah mengandung selama sembilan bulan? Bagi setiap wanita yang merasai saat melahirkan bayi, ia ibarat di persimpangan, antara hidup dan mati. Kesakitan ketika bersalin diibaratkan yang kedua tersakit selepas kesakitan Izrail datang mencabut nyawa. Sebagai manusia waras, tentu kita tidak dapat membayangkan bagaimana seorang wanita sanggup melahirkan bayi dan membuang atau membunuh bayi itu dalam masa yang sama.
Sudah terlalu kerap berita penemuan bayi yang menjadi tajuk utama media massa. Tong sampah, kubur, semak, sungai, kaki lima, lubang tandas, malah kawasan masjid juga menjadi sebahagian kawasan pembuangan bayi.

Bayi yang ditemui amat jarang sekali masih bernyawa kerana kebanyakannya sudah meninggal dunia akibat dihurung semut atau hilang anggota badannya kerana 'dimamah' haiwan liar.
Ada juga yang meninggalkan bayi mereka dengan menulis nota seperti 'tolong kebumikan mayat ini.' Hakikatnya, pembuangan dan pembunuhan bayi ketika ini adalah kerana mereka mahu menutup aib serta bimbang diketahui keluarga. Ke mana hilangnya sifat perikemanusiaan dalam diri masyarakat sekarang kerana bayi adalah kurniaan Allah yang tiada nilainya? Jika zaman sebelum Islam, masyarakat sanggup menanam bayi perempuan hidup-hidup, apa bezanya masyarakat hari ini? Perbuatan membuang dan membunuh bayi ibarat perlakuan jahiliyah moden yang tidak boleh dimaafkan.
Al-Quran dan Sunnah mengingatkan kita bahawa setiap ciptaan Allah di muka bumi ini amat berharga. Bukan saja manusia dan haiwan, malah tumbuhan pun dilarang dicabut hidup-hidup. Perbuatan segelintir mereka melakukan perkara terkutuk terbabit turut memberi impak buruk kepada umat Islam. Firman Allah dalam bermaksud: "Tidakkah patut bagi setiap mukmin dan mukminat apabila Allah dan Rasul-Nya memutuskan sesuatu, ada bagi mereka pilihan lain mengenai urusan mereka." (Surah al-Ahzab ayat 36) Justeru, ibu bapa perlu memastikan pembentukan sahsiah anak menepati ciri Islam sejati. Budaya hidup bebas terutama perlu diberi perhatian serius kerana dikhuatiri 'lesen' berkenaan akan merencatkan pembinaan watak dalam diri anak mereka. Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud: "Setiap suami pemimpin keluarganya. Ia akan diminta bertanggungjawab dan setiap isteri adalah pemimpin atas penghuni rumah bagi anak dan suaminya, dia juga akan diminta untuk bertanggungjawab." (Riwayat Bukhari) Manusia yang ditakrifkan sebagai jahil adalah mereka yang tiada hati dan akal fikiran. Mereka tidak berpijak di bumi nyata sehingga berani melakukan sesuatu di luar pertimbangan. Tiada guna jika mereka hanya malu kepada masyarakat, tetapi bukan kepada Allah s.w.t. Remaja perlu segera insaf dan sedar bahawa hidup pada zaman remaja hanya seketika. Maka mereka perlu bijak memilih jalan kehidupan yang sempurna. Pensyarah Jabatan Pendidikan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Saad, berkata tanda manusia hari ini kembali semula ke zaman jahiliah bukan bermakna mereka tidak berilmu, tetapi kerana nilai kemanusiaan sudah hilang.
"Perbuatan membunuh anak mengatasi nilai hidup kebinatangan. Binatang mungkin membunuh anak mereka ketika dilahirkan, tetapi kebanyakannya atas faktor survival (dijadikan makanan).
"Naluri keibubapaan tetap menganggap perbuatan berkenaan salah. Perbuatan itu tetap tidak dapat menghapuskan kesalahan yang mereka lakukan," katanya.
Beliau berkata, Islam amat menekankan aspek pencegahan dan sebab itu Allah melarang mendekati apatah lagi melakukan zina.
"Zina adalah dosa besar. Ia merosakkan sistem keturunan manusia kerana jika sudah terlanjur pasti membawa kepada mengandung anak luar nikah.
"Sebenarnya tiada alasan mereka membunuh dan membuang anak yang tidak berdosa berkenaan," katanya.
Menurutnya, manusia hilang nilai kemanusiaan kerana mereka hidup bertuhankan nafsu. "Imam al-Ghazali menjelaskan kedudukan manusia boleh menjadi lebih mulia daripada malaikat jika akal mereka boleh menundukkan nafsu, tetapi mereka akan menjadi lebih teruk daripada binatang jika hidup bertunjangkan nafsu," katanya.
Allah berfirman yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk neraka jahanam banyak dari jin dan manusia yang mempunyai hati (tetapi) tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah), dan yang mempunyai mata (tetapi) tidak mahu melihat dengannya (bukti keesaan Allah) dan yang mempunyai telinga (tetapi) tidak mahu mendengar dengannya (ajaran dan nasihat); mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi; mereka itulah orang yang lalai." (Surah al-A'araf ayat 179)
Mayat bayi ditemui dalam longkang

KUCHING 6 Mac – Selepas isu pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak menghiasi dada-dada akhbar dan kaca televisyen baru-baru ini, kini muncul lagi kes yang sama.
Mayat seorang bayi perempuan ditemui dalam sebatang longkang dalam keadaan menyedihkan kerana masih mempunyai tali pusat serta kesan darah pada badannya.
Bayi malang itu ditemui pada pukul 2.45 petang di kawasan berdekatan Pasar Stutong di sini oleh dua kanak-kanak berusia 13 tahun yang kebetulan bermain di situ.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Mun Kock Keong berkata, sepasukan polis yang dimaklumkan mengenai penemuan mayat itu bergegas ke tempat kejadian.
"Siasatan awal mendapati, bayi terbabit dipercayai dibuang dan meninggal dunia pagi ini.
"Ketika ditemui, keadaan bayi itu masih mempunyai tali pusat serta ada kesan darah. Ia dibalut dengan sehelai kain tuala," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kock Keong berkata, mayat bayi itu dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk bedah siasat.

Jurujual wanita ditahan disyaki buang bayi

SEGAMAT 1 Mac – Seorang wanita berusia 22 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi yang hampir reput dalam tandas sebuah pusat latihan memandu di Jalan Lapangan Terbang di sini baru-baru ini.
Wanita yang bekerja sebagai jurujual itu ditahan di rumahnya di Taman Segamat Baru pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah, Supritendan Abdul Majid Md. Ali berkata, wanita itu ditahan kurang 24 jam selepas polis mendapat maklumat mengenai penemuan mayat bayi tersebut.
Katanya, suspek kini ditahan reman bagi membantu siasatan polis mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
"Jika didapati bersalah, mereka yang terlibat boleh dikenakan hukuman penjara selama dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Rabu lalu, seorang kakitangan di sebuah pusat latihan memandu gempar apabila menemui bungkusan berbau busuk yang ditinggalkan di dalam tandas wanita.
Bungkusan plastik yang ditemui dalam sebuah tangki air tandas itu kemudian diperiksa oleh pihak polis sebelum disahkan sebagai mayat seorang bayi.
Pemeriksaan lanjut oleh pihak hospital mengesahkan jantina bayi itu adalah lelaki, dipercayai dilahirkan kira-kira dua hingga lima hari sebelum mayatnya ditemui.

ARKIB : 23/02/2010

Banyakkan Rumah Perlindungan

Apakah hak perlindungan dari segi kelahiran bayi menurut undang-undang ke atas ibu yang hamil di luar nikah ini?NOOR AZIAH: Sebenarnya semua wanita sama ada yang berkahwin atau pun tidak berhak kepada penjagaan semasa mengandung dan melahirkan anak. Penjagaan mengikut piawaian antarabangsa kerana kita sebahagian daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).Kita juga menandatangani konvensyen berkaitan Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi terhadap Wanita (CEDAW) di mana artikel 12 menjelaskan bahawa:1) Negara yang menjadi ahli kepada konvensyen hendaklah membuat cara sesuai untuk menghapuskan diskriminasi terhadap wanita dalam hal kesihatan untuk memastikan, dan berasaskan kesamarataan di antara lelaki dan wanita, mendapat akses kepada penjagaan kesihatan, termasuk perancangan keluarga;2) Apa pun yang dinyatakan oleh para (1), negara ahli hendaklah memastikan setiap wanita mendapat perkhidmatan kesihatan berhubung dengan kehamilan, semasa berpantang dan selepas melahirkan anak, memastikan semua perkhidmatan adalah percuma di mana-mana yang perlu serta pemakanan yang berkhasiat semasa mengandung dan menyusukan anak.Jika dilihat dari konvensyen ini, Malaysia terikat dengan artikel 12 kerana kita telah menandatangani dan meratifikasi CEDAW. Maka setiap wanita mempunyai hak mendapatkan perkhidmatan kesihatan semasa mengandung, semasa melahirkan anak dan semasa menyusukan anak.Perlindungan yang mereka berhak perolehi adalah hak perkhidmatan kesihatan. Oleh yang demikian, tanpa mendiskriminasi, semua wanita yang hamil berhak kepada perlindungan ini dan hospital di Malaysia mesti atau wajib memberikan mereka perkhidmatan tersebut.Jika yang hamil luar nikah, Akta Kanak-kanak 2001 membuat peruntukan perlindungan bagi gadis yang mengandung luar nikah di mana seksyen 41(2)(d) membenarkan kanak-kanak perempuan berumur bawah 18 tahun yang mengandung luar nikah ditempatkan di tempat selamat di atas permohonannya sendiri untuk ditempatkan sedemikian.Dua peruntukan ini memberi perlindungan perundangan kepada ibu yang mengandung tanpa nikah terutama jika ibu tersebut masih kanak-kanak.Di hospital atau di rumah perlindungan, tentu mereka mendapat jagaan yang rapi untuk membolehkannya melahirkan anak dengan selamat dan semasa mengandung mendapat jagaan yang rapi termasuk makanan berkhasiat.Bagi gadis di bawah 16 tahun, kehamilannya adalah disebabkan rogol (kesalahan jenayah mandatori – mengadakan hubungan seks dengan gadis di bawah 16 tahun) dan pelaku boleh dihukum penjara dan rotan.Bagi wanita Islam, jika kehamilan tidak disebabkan rogol malahan kerana perzinaan secara suka sama suka, maka ia adalah suatu kesalahan jenayah syariah jika didakwa dan disabitkan.Pasangan yang berzina boleh dipenjara sehingga 3 tahun, atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya. Jika wanita tersebut sedang hamil, hukuman boleh ditangguhkan sehingga beliau melahirkan anaknya.Apakah punca sebenar kes-kes begini berdasarkan kajian?NOOR AZIAH: Saya baru selesai menjalankan kajian yang bertajuk 'Hak Anak Tak Sah Taraf di Malaysia'. Kajian ini saya buat bersama tiga rakan yang lain iaitu Dr. Che Norlia Mustafa, Mohd Al Adib Samuri dan Hafilah Musa.Dalam kajian, saya menemu bual 58 responden yang hamil luar nikah dari sebuah rumah perlindungan. Apabila ditanya kenapa mereka mengandung luar nikah mereka menjawab sedemikian:Alasan / Punca Kejadian dan Kelahiran Anak Tidak Sah Taraf

# Suka sama suka (23 kes)

# Terlalu percayakan lelaki sebagai kekasih (8 kes)

# Suka bebas/terlalu bebas (6 kes)

# Ingin mencuba seks (3 kes)

# Kurang didikan agama (2 kes)

# Dirogol (11 kes)

# Pengaruh kawan-kawan (7 kes)

# Sebab-sebab lain seperti tekanan keluarga, diabai ibu bapa, jika mengandung ibu bapa akan bagi kahwin dan lain-lain.Bagaimana mengambil jalan tengah antara membantu ibu yang hamil luar nikah dengan hukuman?NOOR AZIAH: Sebenarnya tiada jalan tengah dalam isu mengandung luar nikah. Kita semua manusia yang dijadikan Allah sebagai hambanya. Kita semua ada peranan masing-masing dalam kehidupan seharian kita di dunia ini.Dunia kita hari ini telah terlalu moden dan mendidik anak di dunia yang serba moden dan tanpa sempadan ini bukanlah suatu perkara yang mudah.Perlakuan seks bebas di kalangan remaja kita semakin menjadi-jadi. Ini bukan soal tiada didikan agama atau ibu bapa kurang peka. Godaan amat besar dan anak-anak kita teruja minda, emosi dan iman.Bagi kanak-kanak perempuan, jika hamil luar nikah, mereka tidak ditangkap. Mereka diberi perlindungan jika berumur bawah 18 tahun. Bagi yang atas 18 tahun, biasanya juga tidak ditangkap kecuali selepas melahirkan anak, mereka tidak dapat mendaftarkan kelahiran anak kerana tiada surat nikah.Mereka boleh mendaftarkan kelahiran anak dan memberi anak nama tapi anak tak ada nama ayah. Itupun setahu saya Jabatan Pendaftaran Negara tak pernah lapor kepada pejabat agama pun. Biasanya tindakan pendakwa syarie akan dibuat berasaskan siasatan dan aduan.Sebenarnya menjadi kewajipan semua orang Islam menghalang kemungkaran berlaku. Dalam kes ini ia telah berlaku. Yang perlu ialah pesalah menjalani hukuman dunia terhadap kesalahannya.Sebagai orang Islam, dia mesti tahu bahawa berzina itu berdosa besar dan mesti dihukum. Jika tiada tindakan diambil, maka yang melakukan kesalahan tidak akan merasa berdosa dan bersalah. Salah tetap salah.Tetapi anak luar nikah yang dilahirkan itu tidak bersalah. Maka jika ibunya tidak berkemampuan maka kerabatnya berkewajipan melindungi anak tersebut dan jika tiada, maka kerajaanlah bertanggungjawab terhadapnya.Sebagai langkah pertama, ibu yang mengandung luar nikah hendaklah dipastikan sebab dia mengandung luar nikah. Jika sah kerana zina, dia mesti menjalankan hukuman selepas melahirkan anaknya.Dia juga perlu dibantu untuk boleh hidup berdikari selepas menjalani hukuman. Hukuman itu pula mesti memberi kesan kekesalan, keinsafan dan bukan rasa benci terhadap agama atau penghukumnya.Masyarakat kita umumnya sukar memberi sokongan kepada mangsa terlibat. Adakah ini turut menyumbang kepada peningkatan kes membuang bayi?NOOR AZIAH: Masyarakat kita masyarakat yang berpegang kepada adat dan agama. Namun dalam masa yang sama kita lebih senang menghukum dari membantu mangsa.Kata orang "berat mata memandang, lebih berat bahu memikul". Tiada seorang wanita pun mahu mengandung luar nikah jika diberi pilihan. Semuanya berlaku di atas kehendak Allah dan kita mesti melihatnya sebagai pengajaran dan perlu diambil iktibar.Malangnya kita manusia yang sangat lemah. Apabila kejadian seperti ini berlaku, kita tuding jari, cari salah siapa. Dah berlaku, semua orang salah… ibu bapa salah, masyarakat salah…pemimpin salah, semua salah…Jangan cari salah.Cari macam mana nak hindar dan baiki keadaan. Sebab itu apabila tahu saja mengandung, anak gadis panik. Lari dari rumah, cuba gugurkan dan akhirnya jika semua ikhtiar gagal, mereka buang bayi.Fikiran mereka buntu dan mereka tiada siapa nak mengadu. Semua salahkan mereka, mereka juga malu. Saya yakin memang sikap kita secara tak langsung menyumbang kepada pembuangan bayi.Bagi yang tidak kena batang hidung, mereka tidak melihat perlunya diwujudkan rumah persinggahan untuk golongan ibu hamil di luar nikah ini. Kata mereka, ia hanya akan mendorong lebih banyak kes sedemikian. Benarkah NOOR AZIAH: Rumah Perlindungan atau Persinggahan untuk ibu yang hamil sangat perlu kerana ia boleh mengurangkan jumlah pembuang bayi. Tapi ia mestilah tanpa syarat dan no question ask?Kita bukan nak galakkan mereka berzina. Itu anggapan yang biasa dibuat masyarakat umum. Itu anggapan salah. Rumah ini boleh menyelamatkan nyawa ibu dan anak.Kita boleh beri peluang untuk anak tak sah taraf hidup normal sebagai anak angkat. Ibu yang terlanjur boleh diberi peluang kedua membaiki hidupnya dan memulakan kehidupan yang baru. Mesti ada modul yang sesuai untuk memperbaiki diri dan sahsiah mereka.Kehamilan tidak akan berlaku tanpa penglibatan lelaki. Apa pula tindakan yang perlu diambil ke atas lelaki terlibat.NOOR AZIAH: Kata orang Inggeris, It takes two to tango. Yang malangnya, wanita membawa bukti yang jelas. Kita ada teknologi.Kita boleh buat DNA pada anak dan pada lelaki yang dikatakan menyebabkan seseorang wanita itu hamil. Kita hadapkan kedua-duanya ke mahkamah, jika Islam, lelaki mesti menjalani hukuman juga.Satu lagi ialah mereka patut diperintahkan membayar nafkah anak tak sah taraf tersebut bukan kerana nasab tetapi sebagai hukuman. Itu lebih berkesan kerana mereka akan lebih berhati-hati di masa akan datang.Saya pernah cadang dulu lelaki membayar diat (denda) kepada wanita yang dihamilkannya itu. Dia juga perlu membayar pampasan kepada anak biologinya.

Bayi lelaki ditemui rentung dalam tong sampah

13/02/2010 3:02pm

AZRAN FITRI RAHIM azran.rahim@utusan.com.my

KUALA KRAI 13 Feb. – Seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan beberapa hari ditemui dalam keadaan rentung dalam sebuah tong sampah di belakang sebuah bank di sini hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Abdul Rahim Che Ghani berkata, mayat bayi itu ditemui oleh seorang pekerja Majlis Daerah Kuala Krai kira-kira pukul 11 pagi.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan, pihaknya percaya bayi malang tersebut dibuang ke dalam tong sampah berkenaan sebelum dibakar. – Utusan
Buang bayi tindakan kejam

Oleh FAIZAH IZZANI ZAKARIA

pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 11 Feb. – Betul-betul kejam. Kalau tak nak, bagi saja pada kita! Demikian reaksi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang terkejut dan kecewa dengan kes pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

"Saya bangun pagi tadi, terus baca tentang kes ini, ia betul-betul kejam. Perkara ini tidak sepatutnya berlaku," tegasnya.

Shahrizat ditemui pemberita selepas melancarkan jurnal antarabangsa Institut Pengupayaan Wanita Bagi Anggota Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NIEW), di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas mengenai kes pembuangan bayi yang berlaku sejak Isnin lalu apabila mayat seorang bayi perempuan ditemui tertanam di Bukit Mertajam, Pulau Pinang diikuti penemuan bayi perempuan yang masih hidup di Alor Setar, Kedah sehari kemudian.

Semalam, mayat seorang lagi bayi perempuan yang dihurungi semut ditemui di pintu pagar Masjid Jamek Permatang Duyong di Melaka.

Shahrizat berkata, kejadian-kejadian itu menjadi satu petunjuk yang amat membimbangkan dalam masyarakat Malaysia pada hari ini.

"Ini menunjukkan masyarakat kita menghadapi tekanan. Sebab itu dalam hidup kita ini perlu ada keseimbangan. Kita lihat dulu perkara seperti ini tidak berlaku sekerap ini.

"Ini kerana dulu kita ada keluarga yang besar. Apa-apa terjadi pun bukan saja ibu bapa membantu, saudara-mara lain juga akan tolong. Tetapi kita lihat ia sudah tidak ada pada hari ini sebab struktur keluarga yang kian berkecai," katanya.

Beliau berkata, kerajaan dan banyak lagi pihak terutama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan wanita dan keluarga menyediakan bantuan kepada mereka yang tidak ada saluran lain untuk meminta pertolongan.

"Kita ada Jabatan Kebajikan Masyarakat di seluruh negara. Kalau tak mampu hendak menjaga anak yang baru dilahirkan bagi pada kita, kita boleh jaga. Tolong jangan buat macam ini. Rumah-rumah perlindungan kita juga banyak.

"Setidak-tidaknya datang berjumpa pemimpin tempatan, Wanita UMNO pun boleh kalau sudah tidak tahu ke mana hendak minta bantuan lagi," katanya.

Ketua Wanita UMNO itu memberitahu pergerakan itu dan NGO mempunyai kaunselor yang boleh membantu mereka yang bermasalah.

"Banyak orang nak bantu, kalau tak mampu bawa ke hospital atau balai polis. Saya percaya hospital akan terima," tegasnya.

Apa yang penting bagi Shahrizat, perbuatan kejam dan tidak bertanggungjawab seperti membuang bayi tidak boleh dijadikan budaya dalam masyarakat Malaysia hari ini.

Mengulas mengenai NIEW, Shahrizat berkata, pertubuhan itu akan menjadi penggerak kepada wanita di negara ini dan seluruh dunia untuk meneruskan perjuangan dalam isu-isu wanita.

Katanya, NIEW juga diyakini dapat meningkatkan imej wanita terutama di Malaysia untuk mencapai kecemerlangan dalam segala hal.

"Kadang-kadang imej negatif terhadap wanita menjadi masalah kerana persepsi yang tidak dapat dihakis. Jadi NIEW perlu berusaha gigih untuk meningkatkan martabat wanita," katanya.
Mayat Bayi Dibekal Ubat Semut Dan Gunting

09/02/2010 pada 11:39 pm · Dikirim dalam Isu Semasa, Kekejaman Terhadap Bayi

Tindakan mencurigakan dua lelaki yang membawa cangkul dan memecut laju motosikal melalui jalan tanah merah membawa kepada penemuan mayat seorang bayi lelaki dipercayai baru dilahirkan di Lorong Perusahaan Maju Lapan, berdekatan Juru Autocity, di sini, semalam.

Lebih memeranjatkan, penjenayah berkenaan boleh dikatakan 'baik hati' apabila meletakkan ubat anti semut, gunting selain membungkus bayi berkenaan menggunakan kain lampin.

Ketua Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Komisioner Azman Abd Lah, berkata bayi yang cukup sifat itu dipercayai baru dilahirkan dan dibungkus dengan plastik hitam sebelum ditanam di belakang sebuah kilang.

Kejadian kira-kira jam 3.15 petang itu disedari orang ramai selepas mendapati dua lelaki menunggang motosikal jenis MZ 125 dalam keadaan mencurigakan melalui jalan tanah merah itu.

Beliau berkata, kedua-dua lelaki tidak diketahui bangsa itu didakwa membawa cangkul dan menunggang motosikal dalam keadaan laju.

"Apabila orang ramai ke tempat dua lelaki terbabit dipercayai menanam sesuatu, mereka menemui mayat seorang bayi lelaki dengan separuh badannya dari paras leher ke bawah tertanam.

"Berdasarkan fizikalnya, bayi ini cukup sifat dan berambut nipis, namun kami masih menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kejadian," katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.

Menurutnya, bayi itu sudah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat dan kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran.

Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian berkenaan menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah, Asisten Superintendan S Subramaniam di talian 019-6351119 atau balai polis berhampiran. ~~myMetro

Mayat bayi dalam tong sampah

Oleh HAMIMAH HAMID

utusanperak@utusan.com.my

Seorang anggota polis mengangkat mayat bayi perempuan yang ditemui oleh pekerja Majlis Bandaraya Ipoh ketika memungut sampah di kawasan rumah pangsa Jalan Asby, Ipoh, semalam.

IPOH 30 Dis. – Mayat seorang bayi perempuan yang masih bertali pusat ditemui dalam tong sampah di kawasan rumah pangsa Jalan Asby di sini hari ini.

Bayi malang itu dijumpai oleh seorang pekerja Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) yang sedang bertugas memungut sampah di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias berkata, pekerja MBI itu yang sedang menjalankan rutin harian terkejut apabila menemui mayat bayi berkenaan kira-kira pukul 11.30 pagi dan terus melaporkannya kepada polis.

"Mayat bayi itu dipercayai baru dilahirkan dalam tempoh 24 jam. Polis kini sedang mengesan ibu bapa bayi berkenaan.

"Sehingga kini belum ada suspek yang ditahan," katanya ketika dihubungi di sini.

Sehubungan itu, Azisman meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh atau menghubungi talian 05-2451500 untuk membantu siasatan.

Mayat bayi itu, katanya, dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat.
"Dan apabila anak-anak yang ditanam hidup-hidup menyoal 'Kerana dosa apa dia dibunuh' " (Surah At-Takwir : 8 – 9). Sejarah berulang. Jahiliyah Arab di zaman Nabi saw kini berulang di Zaman Internet, tidak mustahil berulang jika umat menjauhi petunjuk Al-Quran dan As-Sunnah.
Bayi perempuan tidak cukup bulan ditemui tertanam di tanah perkuburan

buang-bayi

ANGGOTA polis memeriksa mayat bayi perempuan yang dijumpai di Tanah Perkuburan Islam, Senawang, Seremban, semalam.

SEREMBAN 30 Mac – Polis hari ini mengesahkan penemuan mayat bayi perempuan yang ditanam di Tanah Perkuburan Islam Senawang di sini pagi ini mempunyai kaitan dengan unsur jenayah.

Mayat bayi yang baru berusia 14 minggu itu ditemui tertanam oleh seorang penjaga kubur setelah ternampak kesan tanah gembur serta kotak dipercayai bekas menyimpan mayat bayi malang itu di tanah perkuburan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin berkata, penjaga kubur itu kemudian membuat laporan polis sebaik sahaja mengesan sesuatu yang aneh di tanah perkuburan tersebut.

"Dalam kejadian pada pukul 8.30 pagi itu, penjaga kubur berkenaan membuat laporan polis tidak lama kemudian. Sepasukan anggota polis telah bergegas ke lokasi tanah perkuburan itu.

"Hasil siasatan awal, polis menemui satu kotak dipercayai diguna untuk menyembunyikan mayat berkenaan dengan bahagian dalamnya terdapat kertas surat khabar dan bongkah tanah serta kesan lendir dan darah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Saiful Azly, polis kemudian menggali lokasi tanah itu dan menemui mayat seorang bayi perempuan berusia kira-kira 14 minggu dibungkus dengan kain putih seperti dikapankan dan ditanam di tanah perkuburan itu.

Difahamkan, Tanah Perkuburan Islam Senawang tersebut masih belum beroperasi untuk sebarang pengkebumian.

"Kita akan siasat kes ini mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit, kerana dipercayai mempunyai unsur jenayah," tegasnya.

Ketika ini, kata beliau, pihaknya sedang menjalankan siasatan dari pelbagai sudut untuk mengesan mereka yang bertanggungjawab.

Sehingga kini juga, tambah Saiful Azly, belum ada tangkapan dibuat dan mayat bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Ja'afar untuk bedah siasat.

Dipercayai, bayi malang itu meninggal dunia kerana tidak cukup bulan dan ditanam di tanah perkuburan itu oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

"Polis juga sedang mengenal pasti keturunan bayi berkenaan dan akan menunggu laporan bedah siasat," jelasnya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian tersebut supaya tampil membantu dan menghubungi mana-mana balai polis terdekat.
Bayi lelaki baru lahir ditemui

MERSING 21 Mac – UtusanOnline – Seorang bayi lelaki yang baru dilahirkan ditemui dalam keadaan berlumuran darah di kawasan pembuangan sampah di Pantai Air Papan, dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Mersing, Deputi Supritendan Mohd. Nor Rashid berkata, bayi malang itu ditemui seorang pengunjung yang baru tiba di pantai itu untuk berkelah pada pukul 10.30 pagi.

"Polis yakin bayi itu baru sahaja dilahirkan berdasarkan keadaannya yang masih mempunyai tali pusat dan tubuhnya masih berdarah," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, bayi yang kelihatan sihat itu dipercayai berketurunan Melayu. Dia kini dibawa ke Hospital Daerah Mersing untuk rawatan lanjut.

Katanya, polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

SUNGAI PETANI 14 Mei – Sungguh kejam. Gejala buang bayi kini kembali berulang. Kali ini, mayat bayi yang dilahirkan disembunyikan di bawah katil.

Seorang wanita berusia 27 tahun yang dipercayai mengandung anak luar nikah sanggup menyembunyikan bayi lelakinya yang meninggal dunia selepas dilahirkan di bawah katil di rumahnya, sebelum ditemui polis malam tadi.

Bayi lelaki yang cukup sifat seberat dua kilogram itu dipercayai dilahirkan pagi Sabtu lalu dalam sebuah bilik di rumahnya di Kampung Kuala Sin, Bukit Selambau, dekat sini.

Wanita yang bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di sini itu kemudian meninggalkan mayat bayi tersebut di bawah katil tanpa pengetahuan sesiapa.

Dia kemudian meminta bantuan saudaranya menghantar ke hospital kerana mendakwa 'sakit perut'.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali berkata, kejadian itu hanya disedari oleh pegawai perubatan Hospital Sik yang merawatnya dan mengesan tali pusat bayi masih tertinggal dalam rahim wanita berkenaan.

Menurutnya, wanita itu dikatakan tidak mahu memaklumkan kejadian tersebut kerana khuatir dimarahi oleh ahli keluarganya.

"Curiga dengan tindakan wanita itu, pegawai perubatan hospital kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sik.

"Polis yang memeriksa rumah wanita itu menemui mayat bayi lelaki yang cukup sifat dibungkus dengan tuala dan diletakkan bawah katil," katanya.

Kejadian buang bayi sebelum ini berlaku di Perak pada Isnin lalu apabila mayat seorang bayi lelaki ditemui dalam keadaan yang sungguh menyayat hati di Masjid Simpang Lima, Kerian bersama wang tunai RM150 untuk urusan pengkebumian.

Sementara itu, Hashim memberitahu, ketika ditemui, bayi tersebut dalam keadaan hampir reput dan berbau busuk.

Beliau berkata, kes tersebut kini disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran.

Jika sabit kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali.

Katanya, mayat bayi terbabit dihantar ke Jabatan Forensik untuk bedah siasat manakala wanita berkenaan ditahan di wad Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar untuk rawatan lanjut kerana mengalami pendarahan dalaman.



pesan za: tidak sayangkah mereka pada anak yang dikandung? beruk di hutan tu pun tau sayangkan anak, kenapa manusia tidak?
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...