photo header2-1.png

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan - Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Dari Ibni Abbas r.a ia berkata:

Sabda Rasulullah "Sesungguhnya aku telah meninggalkan pada kamu dua
perkara yang kamu tidak akan sama sekali sesat selama mana kamu
berpegang kepada keduanya, kitab Allah dan sunnah Nabi-Nya."

(Hadis riwayat Al-Imam Al-Hakim)

Kesilapan Kerap Muslim di Ramadhan

Oleh

 Zaharuddin  Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Pada hemat saya, kita bolehlah mengatakan bahawa objektif atau sasaran
yang perlu dicapai oleh Muslim di bulan Ramadhan ini kepada dua yang
terutama. Iaitu taqwa dan keampunan. Perihal objektif taqwa telah
disebut dengan jelas di dalam ayat 183 dari surah al-Baqarah. Manakala
objektif 'mendapatkan keampunan' ternyata dari hadith sohih tentang
Sayyidatina Aisyah r.a yang bertanya kepada nabi doa yang perlu dibaca
tatkala sedar sedang mendapat lailatul qadar. Maka doa ringkas yang
diajar oleh Nabi SAW adalah doa meminta keampunan Allah SWT.

Bagaimanapun, kemampuan untuk mendapatkan kesempurnaan pahala ramadhan
kerap kali tergugat akibat kekurangan ilmu dan kekurang perihatinan
umat Islam kini. Antara yang saya maksudkan adalah :-

1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja
(bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa
sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti
mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia
dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara
yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam,
Al-Qaradawi, hlm 112).

Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya
kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya :
"sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia
berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)

2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir
malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari
mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah
bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut
bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula
menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469).
Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai
objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)

3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini
satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya
adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat
malam.

Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika
waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar"
(Az-Zariyyat : 18)

يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة

Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai
Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ;
jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu"
( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan
; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)

4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan
yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi
ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang.
Justeru, 'ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa
seseorang itu menjadi 'kurus kering' pastinya.

5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini
jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa.
Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat
fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang
disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara
berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.

6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah.
Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat
utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid
adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap
ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di
dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan
itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)

7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari
dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat
dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat
Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan
mengurangkannya di Ramadhan ini.

8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat.
Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut
berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami'
as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9) Menganggap waktu imsak sebagai 'lampu merah' bagi sahur. Ini adalah
kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah 'lampu amaran oren'
yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu
sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur,
tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan
lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari
itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah
sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md 'Uqlah, hlm 278)

10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini
nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid,
malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan
dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat
mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah
buat lelaki ketika di masjid.

11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta
haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran,
pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan
yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status
orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah
dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di
bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal
terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.

Nabi Muhammad menceritakan :-

ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ
إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ
حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى
يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ

Ertinya :  menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam
perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di
mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai
Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya
haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana
Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis
sohih)

Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa
sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram,
insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar,
kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa
meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan
Al-Basri.

12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu
lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW
telah menyebut :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم

Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang
adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi"
( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir :
Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka
berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد

Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau
hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no
1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

17 Oktober 2006

pesan za: selalu bermalasan di siang hari bulan puasa, malam pun
selalu malas, asik nak tido jer.. Subhanallah...

PENAFIAN: Pembacaan dan penerimaan pembaca tentang isi kandungan blog ini adalah atas tanggungjawab pembaca sendiri. Blogger tidak bertanggungjawab untuk apa jua masalah yang timbul. Alizareesya Punya Cerita
.