17 October, 2011

On 9:12:00 AM by Aliza   No comments
Sewaktu berharta, isteri setia. Setelah merana, isteri ke mana? Sudahlah jatuh, ditimpa tangga pula, begitulah nasib seorang suami yang bersusah payah dalam mencari rezeki akhirnya kecundang di tengah perjuangan. Benar sunguh kata ibu bapa kita. Hendak cari isteri, carilah yang sudi hidup susah, perihati dan qana’an (sentiasa rasa cukup). Sayangnya, ramai lelaki yang menggunakan harta untuk memikat belahan jiwa. Menyunting bunga dengan gemerlap permata dan mempamerkan segala kemewahan demi cinta.

Jika dari mula sudah melayan isteri dengan kemewahan, pasti akhirnya kelak sudah mengajaknya hidup sederhana. Semua mahu serba kelas pertama, bagaimana hendak membiasakan diri dengan berjalan kaki, jika dahulu kereta sedia sentiasa membawa ke sana sini. Bolehkah berpindah ke rumah yang lebih kecil di tingkat lima flat usang yang tiada lif, sedangkan rumah yang dulu amat selesa, besar dan cukup segala serbinya.

Dalam menghadapi kemelut kewangan keluarga, hendaklah mengamalkan petua belia ‘4B’ iaitu :

1 – Berterus terang

Jangan sembunyaikan masalah kewangan anda, ajaklah isteri berbincang tentang langkah-langkah yang terbaik menghadapi krisis. Suami yang tidak bertanggungjawab cenderung lari dari masalah, membiarkan isteri meletup-letup emosinya menghadapi perubahan drastik kegagalan suami.

Mengapa hanya pandai menyalahkan isteri yang tidak sabar, padahal suami sendiri yang tidak berani berterus-terang? Akibat tidak diberi maklumat yang sewajarnya, isteri mengamuk dan menaruh curiga kepada suami. Bukankah bertambah rumit keadaannya jika timbul salah faham akibat tidak berterus-terang?

Kadang-kadang isteri menerima maklumat yang salah daripada orang lain. Kononnya suami berhutang kerana judi atau main perempuan, padahal semua cerita itu karut belaka. Mungkin suami tidak mahu membuat isteri susah hati, takut isteri lari dari sisinya jika menceritakan kebenaran. Bukankah suami mesti menjaga isteri dari pengaruh-pengaruh luar yang boleh memberi kesan negatif ke atas rumahtangganya? Sudahlah tidak mahu berterus-terang, lari daripada tanggungjawab, kemudian membiarkan orang luar campur tangan dalam masalah peribadi mereka. Amanahkah suami yang bersikap sebegini?

2 – Berlembut

Suami yang mahu menasihati isteri hendaklah bersedia mengawal dirinya terlebih dahulu. Tunjukkan yang anda stabil dari segi emosi dan rasional dalam bertindak. Kawal diri anda daripada tekanan masalah yang mengganggu dan dekati isteri secara berlemah lembut. Akui kesilapan dan jangan malu meminta pertolongan isteri bersama-sama menghadapi krisis. Mungkin anda akan terkejut dengan reaksi isteri yang tidak terkawal, menangis, menyalahkan kesilapan suami, marah-marah dan mengungkit-ungkit perkara lepas. Tetapi suami yang bijak, percaya bahawa reaksi isteri yang sebegitu adalah wajar bagi seorang manusia biasa.

Terkejut dan putus asa pada mulanya dan tidak mustahil dia akan cepat mengawal diri, meredakan tekanannya perlahan-lahan kemudian redha menerima takdir Allah SWT. Paling penting adalah peranan suami sebagai pendamping yang sabar, nescaya isteri akan meneladani sikap suami ini. Jika suami kurang sabar mendengar keluah isteri, kemudian merenggangkan hubungan mereka, boleh jadi salah faham akan semakin terbuka lebar.

3 – Berusaha lebih gigih

Suami perlu tunjukkan bukti nyata bahawa dia mahu menyelamatkan keluarga dengan bekerja lebih keras daripada biasa. Tekanan memikirkan masalah sedikit sebanyak menjejaskan kualiti kerja yang dilakukan. Tetapi suami yang baik, percaya hanya dengan usaha dan ikhtiar saja boleh melayakkan dirinya mendapat kejayaan dari Allah SWT.

Rezeki yang dimakan setiap manusia telah ditetapkan di loh mahfuz sebagaimana ajal dan jodohnya. Jika ia terlepas, maka itu telah tertulis dan jika ia datang, itu pun telah tertulis sebagai ketentuan Allah SWT, jadi tiada sebab untuk manusia bersedih jika ia kehilangan hartanya kerana yang hilang itu akan berganti dengan yang lebih baik.

Bukankah nikmat Allah lebih banyak jika dihitung berbanding musibah yang menimpa manusia? Satu ribu ringgit yang hilang tidaklah sebanyak beribu-ribu ringgit yang kita telah perolehi sebelum ini. Manusia hanya perlu berusaha dengan gigih, kemudian bertawakal supaya dia memiliki kekuatan menghadapi musibah yang hanya sesekali datang.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Seandainya kamu semua bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan memberi rezeki sebagaimana Dia memberi kepada burung yang keluar dengan perut kosong pada pagi hari dan kembali dengan perut kenyang pada petang hari.” (Hadis riwayat Imam at-Tirmidzi)

Jika burung yang hanya memiliki dua sayap dan satu paruh boleh mendapat rezeki setiap hari, apakah manusia yang sempurna akal dan jasadnya akan gagal menyahut cabaran hidup?

4 – Bimbing jiwa dengan ilmu dan ibadah

Ubat penawar kegelisahan manusia hanya ilmu yang diikuti dengan amal soleh. Doa dan harapan kepada Allah SWT menunjukkan kita beriman kepada ketentuan dan kuasa-Nya. Jangan sesekali berpaling tadah daripada Allah dengan melakukan perkara-perkara syirik semata-mata mahu menyelesaikan krisis kewangan keluarga.

Ramai yang percaya kepada bomoh dan ilmu hitam untuk melariskan jualan. Berguru kepada syeikh-syeikh tarekat songsang yang percaya kepada benda-benda karut walaupun dihiasi dengan doa-doa batil yang kononnya mencari berkat.

Padahal amalan bersebut tidak pernah diajar oleh Rasulullah SAW dan para sahabat. Seperti zikir dan doa yang bercampur dengan puji-puja kepada syeikh tertentu yang nyata menyalahi akidah dan agama. Hanya dengan ilmu, fakta dan dalil serta nas yang sahih daripada al-Quran dan hadis sahaja yang seharusnya kita beramal untuk kebahagian dunia dan akhirat.

Rujukan : Dr Juanda Jaya # 1352

kredit : bawang goreng

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...