31 March, 2009

On 9:00:00 AM by Aliza in    No comments

APABILA disebut perkataan nusyuz, sudah tentu tergambar dalam fikiran kita seorang isteri yang derhaka atau tidak mentaati suami tanpa ada sebarang keuzuran syarie. Gambaran tersebut seolah-olah nusyuz ini hanya berlaku pada pihak isteri sedangkan dalam al-Quran dan al-sunah jelas menunjukkan nusyuz tidak hanya berlaku pada pihak isteri bahkan ia juga berkemungkinan berlaku pada suami.

Berdasarkan realiti semasa yang berlaku pada hari ini, peratusan nusyuz dari pihak suami yang melibatkan penderaan dari segi fizikal dan mental terhadap isteri adalah lebih tinggi berbanding nusyuz isteri terhadap suaminya.

Pensyarah Fakulti Syariah dan Undang-Undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM), Wan Abdul Fattah Wan Ismail berkata, menurut Ibn Manzur, seorang penulis lisan al-arab, dari segi bahasa nusyuz berasal daripada perkataan Arab iaitu nashaza, yanshuzu, nushuzan yang memberi beberapa maksud, antaranya bangkit dari tempatnya atau bangun, tempat yang tinggi atau suami isteri saling membenci.

Katanya, para fuqaha dan ulama-ulama tafsir telah memberi pelbagai definisi mengenai nusyuz. Menurut Imam Syirazi dalam kitabnya al-Muhazzab, nusyuz ialah isteri yang menderhakai, angkuh serta ingkar terhadap apa yang telah diperintahkan oleh Allah s.w.t. kepada mereka mengenai tanggungjawab yang perlu dilaksanakan terhadap suami mereka.

"Namun definisi ini hanya menjurus kepada nusyuz di pihak isteri sahaja sedangkan nusyuz juga berlaku pada suami. Maka nusyuz dapat ditakrifkan sebagai suami atau isteri yang cuai dalam melaksanakan tanggungjawab mereka terhadap pasangan sebagaimana yang telah diamanahkan oleh Allah tanpa ada sebarang alasan yang disyarakkan untuk dikecualikan daripada melaksanakan amanah-amanah tersebut," kata Abdul Fattah.

Nusyuz suami jelas dinyatakan oleh Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Jika seseorang wanita khuatirkan nusyuz atau sikap acuh tidak acuh suaminya, maka tidak mengapa bagi kedua-duanya mengadakan perdamaian. Itu adalah lebih baik bagi mereka walaupun manusia menurut tabiatnya yang kikir dan jika kamu bergaul dengan isterimu secara baik dan memelihara dirimu (nusyuz atau sikap acuh tidak acuh) dan sesungguhnya Allah Amat Mengetahui apa yang telah kamu kerjakan. (al-Nisa’: 128)

Dalam ayat lain, Allah berfirman yang bermaksud: Oleh itu janganlah kamu cenderung melampau-lampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga membiarkan isteri yang lain seperti benda yang tergantung (di awangan). (al-Nisa’: 129)

Rasulullah bersabda, Barang siapa yang mempunyai dua orang isteri dan cenderung kepada seorang tidak kepada seorang lagi, maka suami tersebut akan dibangkitkan pada hari Kiamat dengan sebahagian daripada badannya dalam keadaan condong (senget sebelah). (Riwayat al-Baihaqi)

Dalil-dalil dan sunah di atas mengukuhkan lagi bahawa nusyuz bukan setakat berlaku di pihak isteri bahkan ia juga berkemungkinan berlaku pada pihak suami.

Tambah Abdul Fattah, antara perbuatan suami yang dianggap sebagai nusyuz adalah tidak memberi nafkah zahir dan batin. Pemberian nafkah ini merupakan kewajipan suami yang perlu ditunaikan. Firman Allah yang bermaksud, Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya (nafkah suami kepada isterinya) dan orang yang sempit rezekinya hendaklah memberi nafkah daripada harta yang diberikan Allah kepadanya. (al-Talaq: 7)

Imam al-Tirmizi meriwayatkan Rasulullah bersabda bermaksud: Suami hendaklah memberi makan kepadanya (isteri) jika ia hendak makan dan kamu (suami) hendaklah memberi kepadanya (isteri) pakaian jika ia berhajat kepada pakaian.

Selain itu, kata beliau, tindakan bercakap kasar dengan isteri seperti mengherdik, menghina dan memukul tanpa sebab sedangkan isteri taat dan tidak derhaka kepada suaminya juga dianggap sebagai nusyuz. Sabda Rasulullah bermaksud: Janganlah sesekali kamu memukul di muka, kamu tidak boleh memperolok-olokannya dan juga kamu tidak meninggalkannya (berasingan tempat tidur) kecuali di rumah sendiri. (Riwayat Abu Daud)

Nasihat

Katanya, dalam surah al-Nisa’ ayat 34, syarak menganjurkan beberapa kaedah yang perlu digunakan oleh suami bagi menangani isteri nusyuz iaitu dimulakan dengan nasihat diikuti dengan pemulauan tempat tidur dan akhir sekali pukul yang tidak mencederakan.

Kaedah yang serupa juga perlu digunakan oleh isteri bagi menangani permasalahan suami nusyuz seperti mana yang telah dinyatakan dalam surah al-Nisa’ ayat 127. Ia dimulai dengan nasihat, pemulauan dan perdamaian. Walau bagaimanapun, isteri tidak boleh menggunakan kaedah memukul untuk menghadapi suami nusyuz seperti yang dibenarkan kepada suami bagi menghadapi isteri nusyuz.

"Menurut Muhsin Atawi dalam kitabnya al-Tasawwur fi Ma'rifat al-Islam, suami isteri mempunyai hak yang sama antara satu sama lain dalam melaksanakan tugas mengajak ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran.

"Isteri berhak untuk menasihati suami tentang kelebihan bagi suami yang bertanggungjawab dan mengingatkan mereka tentang azab yang bakal diterima bagi suami yang mengabaikannya. Moga-moga dengan nasihat tersebut suami akan sedar dan insaf serta kembali melaksanakan kewajipannya sebagai seorang suami seperti yang dikehendaki agama," katanya.

Jelas Abdul Fattah lagi, sungguhpun isteri berhak untuk memulau suaminya yang nusyuz namun berdasarkan kepada nas-nas dan hadis, pemulauan daripada pihak isteri terhadap suami nusyuz hanya terhad dari segi percakapan dan bukan pada perbuatan. Pemulauan dari segi percakapan bermaksud isteri tidak bercakap dengan percakapan mesra berbanding sebelum ini atau isteri berdiam diri dalam tempoh tidak lebih daripada tiga hari dengan tujuan untuk menyedarkannya.

Tempoh pemulauan percakapan (berdiam diri) tidak boleh melebihi tiga hari kerana bersandarkan kepada sabda Rasulullah bermaksud: Tidak halal (haram) bagi seseorang muslim tidak bertegur sesama saudara seagama melebihi tiga hari. (Riwayat al-Baihaqi)

Namun pemulauan dari segi perbuatan dengan menolak ajakan suami untuk bersetubuh sekalipun suami nusyuz adalah tidak dibenarkan oleh agama. Kenyataan ini berdasarkan kepada maksud umum daripada sabdaan Rasulullah bermaksud: Apabila suami mengajak isterinya ke tempat tidur, namun isterinya menolak ajakan tersebut dan (tindakan tersebut) membuatkan suaminya marah, maka para malaikat akan melaknatinya (isteri) sehinggalah waktu pagi. (Riwayat Muslim)

Sekiranya nasihat dan pemulauan tidak dapat menginsafkan maka kaedah seterusnya adalah melalui perdamaian. Tindakan perdamaian ini juga disyorkan oleh Allah bagi menghadapi suami nusyuz. Firman-Nya: Jika seseorang wanita khuatirkan nusyuz atau sikap acuh tidak acuh suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian. (al-Nisa’: 128)

Tambahnya, perdamaian yang dimaksudkan ialah isteri mengurangkan hak yang perlu ditunaikan oleh suami terhadapnya seperti mengurangkan kadar mahar yang tertangguh, nafkah atau hak-hak persamaan (bagi yang berpoligami). Tindakan isteri ini adalah bertujuan untuk mengembalikan ketenteraman dan keamanan dalam rumah tangga.

Imam Nawawi ada menyatakan dalam kitab al-Majmu’: Apabila telah jelas tanda-tanda nusyuz pada suami disebabkan umur isteri telah lanjut ataupun dalam keadaan sakit dan pada waktu itu isteri berpendapat dengan mengurangkan hak-haknya seperti mengurangkan nafkah, hak kesamarataan dan seumpamanya dapat menjernihkan hubungan mereka semula maka ia adalah dibenarkan.

Abdul Fattah berkata, para suami hendaklah sedar dan faham akan tanggungjawab mereka terhadap keluarga khususnya terhadap isteri.

Mereka hendaklah memikul amanah dengan penuh tanggungjawab dan tidak sesekali mengabaikan masa depan anak serta isteri. Hasil daripada kelalaian ini akan mengakibatkan para suami akan menerima azab yang pedih apabila bertemu Allah kelak.

Kesan jika nusyuz dibiarkan berlarutan

Sekiranya kesemua kaedah yang telah disyorkan oleh syarak di atas tidak dapat mengubah sikap suami yang nusyuz, maka isteri hendaklah mengadu kepada mereka yang dapat menyelesaikan permasalahan tersebut termasuklah ahli keluarga atau terus bertemu pihak kadi.

Menurut Dr. Muhammad Uqlah dalam Nizam al-Usrah: Isteri tidak seharusnya berdiam diri sekira suaminya tetap nusyuz sekalipun kesemua kaedah yang disyorkan syarak telah digunakan. Ini kerana jika dibiarkan keadaan akan menjadi bertambah buruk.

Sebaliknya isteri hendaklah mengadu kepada pihak-pihak yang dapat menyelesaikan permasalahan mereka seperti ahli keluarga dan sebagainya. Sekiranya keadaan tersebut masih tidak dapat dikawal maka isteri hendaklah adukan perkara tersebut kepada pihak kadi agar dapat mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menyelesaikan nusyuz suami.

Sumber: Utusan Malaysia (17/06/2006)

0 comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...