30 September, 2009

On 9:51:00 AM by Aliza in

Apakah jangkitan Rotavirus?

Ini adalah jangkitan usus yang biasa berlaku pada kanak-kanak yang berusia kurang daripada 3 tahun. Gejala-gejala jangkitan ini ialah cirit-birit, muntah dan demam. Kekurangan cecair badan disebabkan cirit birit dan muntah ini boleh membawa maut jika gantian cecair tidak diberi dengan segera.

Apakah yang menyebabkan jangkitan ini?

Rotavirus adalah salah satu penyebab utama cirit birit dan muntah di kalangan kanak-kanak. Ia merebak melalui pencemaran najis.


Simptom dan penularan rotavirus

Muntah, cirit-birit, demam dan sakit perut adalah simptom rotavirus. Demam dan muntah boleh berlarutan hingga sembilan hari, manakala cirit-birit pula hingga tiga minggu.

Kata Dr. Khoo, cirit-birit akibat rotavirus lebih mengundang risiko dehidrasi berbanding cirit-birit akibat lain.

"Komplikasi major akibat dehidrasi termasuk renjatan, masalah pernafasan, kardiak, kegagalan buah pinggang, jangkitan otak dan membawa maut," katanya.

Menurut beliau, rotavirus sangat mudah menular. Ia boleh hidup hingga beberapa jam pada persekitaran dan beberapa hari pada permukaan tangan dan pepejal.

Saluran makanan dan najis paling mudah menyebarkan rotavirus. Selain itu ia disebarkan melalui seorang ke seorang yang lain melalui tangan yang tercemar, barang permainan dan objek lain.

"Ibu-ibu perlu memahami bahawa gastroenteritis adalah penyakit serius dan rotavirus boleh menyerang semua kanak-kanak," katanya.

Menangani cirit-birit dan rotavirus

"Elakkan bayi mengalami dehidrasi berterusan dengan memberi susu ibu, formula dan juga cecair lain ketika mereka mengalami cirit-birit. Bawa bayi berjumpa doktor jika ia menunjukkan tanda dehidrasi seperti mulut kering, lampin tidak basah antara enam hingga lapan jam, terdapat pendarahan pada najis, demam dengan suhu tinggi, kerap muntah dan sebagainya," katanya.

Sementara bagi menangani jangkitan rotavirus pula, tiada rawatan antiviral spesifik digunakan melainkan menggunakan kaolin, pectin, smecta dan probiotik.

"Menggunakan oral redehidrasi adalah penyelesaian biasa yang sering digunakan," katanya.

Dalam sesetengah kes muntah yang teruk, redehidrasi dengan cecair melalui laluan intravena diperlukan.

Mengurangkan risiko jangkitan

"Susu ibu adalah penyelesaian terbaik untuk mengelakkan jangkitan rotavirus. Selain itu kerap disinfek barang permainan dan kawasan bermain. Amalkan kebersihan dan sanitasi asas seperti membasuh tangan dengan betul.

"Namun membasuh tangan dan disinfek sahaja tidak mencukupi dan cara yang paling baik adalah mendapatkan vaksinasi rotavirus," ujar Dr Khoo.

Dengan mendapatkan vaksin rotavirus katanya, ia menawarkan pencegahan paling baik dalam melawan jangkitan rotavirus di kalangan bayi.


Apakah vaksin yang ada dan bagaimana ia diberikan?

Ia adalah vaksin oral jenis hidup yang mengandungi 5 jenis rotavirus yang dihasilkan daripada rangkaian rotavirus manusia dan lembu. Ianya tidak mengganggu keberkesanan imunisasi OPV.

Ia juga tidak menyebabkan teleskopi pada bahagian usus (intussusception) yang pernah terjadi sebagai kesan sampingan daripada vaksin rotavirus terdahulu yang pernah diluluskan. Vaksin tersebut dihasilkan daripada rangkaian rotavirus monyet. Teleskopi pada bahagian usus (intussusception) jarang berlaku pada kanak-kanak secara amnya di mana usus menjadi tersumbat disebabkan usus itu sendiri termasuk ke dalam atau teleskopi ke dalam, kesan daripada pergerakan usus.

Vaksin rotavirus ini diberi secara oral dalam 3 dos, iaitu pada usia 2, 4 dan 6 bulan. Dos ke 3 perlu diberi sebelum umur mencapai 32 minggu atau pada usia 7 bulan.

Siapa yang patut menerima vaksin ini?

Ibu bapa boleh memilih untuk memberi vaksin ini kepada anak mereka untuk mencegah jangkitan ini.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...