23 November, 2009

On 11:37:00 AM by Aliza in
Mesti ada yang bertanya, apalah aku ni asik bercerita pasal palanning jer yer... bukan apa, tengah ingat so aku buatlah, nanti dah lupa payah plak.... kali ni aku cari info plak pasal nak dapat jantina anak yang kita nak.... lepas ni aku tingin nak dapat bb boy plak... dah ada 2 girl, so tingin plak ada boy, leh teman papa potong rumput hehehehehe...

Dalam semua hal yang berkaitan dengan ciptaan manusia segala-galanya dalam kudrat Allah s.w.t. Jika Allah berkehendak untuk menjadikan makhluk, Dia berfirman: Kunfayakun yang bererti adilah engkau,maka jadilah makhluk tersebut.

Oleh yang demikian, walaupun manusia berusaha dengan gigih untuk mendapatkan zuriat tetapi jika dengan tiada kudrat Tuhan maka tidak akan terjadi kehamilan yang melahirkan zuriat itu.

Salah satu daripada beberapa perkara yang sangat diutamakan oleh manusia ialah mengenai pilihan jantina anak. Kelahiran anak lelaki masih lagi menjadi pilihan utama di kalangan kebanyakan kaum dan masyarakat di dunia ini khususnya di kalangan masyarkat Timur.

Pilihan anak lelaki sangat kuat di kalangan kaum Cina dan Korea, tetapi di kalangan orang Melayu pilihan jantina anak itu tidak begitu dihiraukan berbanding dengan kaum yang saya nyatakan tadi.

Keinginan untuk mendapat anak dari jantina yang berbeza boleh terjadi apabila sepasang kelamin berturut-turut mendapat anak lelaki sahaja misalnya setelah lima atau enam kali melahirkan anak.

Keinginan membara untuk mendapatkan anak perempuan menyebabkan mereka terus-menerus mencuba sehinggalah jantina anak yang diidam-idamkan itu berjaya diperolehinya.

Dari perubatan, pilihan jantina menjadi penting jika berlaku sesuatu penyakit yang berkait dengan jantina anak. Misalnya penyakit hemophilia iaitu sejenis penyakit yang ada kaitan dengan darah. Penghidapnya iaitu anak lelaki mengalami kesulitan dalam pembekuan darah menyebabkan darah tidak berhenti mengalir dari luka. Dalam hal demikian doktor menasihatkan pasangan kelamin ini cuba mendapatkan anak perempuan.

Seperti yang kita ketahui, percantuman benih lelaki dengan telur perempuan akan menghasilkan janin, warisan kita. Penentuan jantina ini adalah terletak pada pihak suami kerana benih lelaki yang biasanya berjuta-juta banyaknya itu mengandungi faktor yang boleh menghasilkan anak lelaki atau kromosom Y dan anak perempuan kromosom X, manakala telur perempuan hanya mengandungi faktor yang membawa jantina perempuan iaitu kromosom X sahaja.

Tegasnya penentuan jantina anak adalah terletak pada benih suami. Pada kebiasaannya antara beratus-ratus juta benih lelaki yang dikeluarkan selepas persetubuhan, bilangan benih yang membawa faktor jantina lelaki (Y) dan perempuan (X) adalah lebih kurang sama.

Adalah dipercayai benih yang membawa kromosom lelaki (Y) adalah lebih aktif dalam pergerakan dan seringkali ia dapat menuju ke sasarannya iaitu telur perempuan dengan lebih cepat.

Adalah dipercayai juga benih yang membawa kromosom lelaki (Y) mempunyai jangka hidup yang lebih pendek berbanding dengan benih yang membawa kromosom perempuan (X).

Benih yang membawa kromosom lelaki juga dikatakan tahan hidup dalam cecair yang lebih alkaline manakala benih yang membawa kromosom perempuan boleh hidup dalam cecair yang berasid.

Disamping itu, dengan adanya peralatan teknologi moden, benih yang membawa kromosom lelaki dan perempuan boleh dipisahkan dengan cara terbaru. Dengan pengetahuan mengenai ciri benih lelaki, manusia telah mencapai kejayaan walaupun tidak seratus peratus untuk merancang jantina anak yang belum dihamilkan itu.

Sejak zaman-berzaman manusia telah menggunakan bermacam-macam cara dan teknik untuk merancang jantina anak sebelum dihamilkan.

Salah satu cara menentukan jantina ini ialah melalui kiraan bulan. Cara ini diamalkan oleh orang Cina. Mereka berpendapat, jika kehamilan dihasilkan pada bulan tertentu, maka anak lelaki akan dilahirkan, manakala persenyawaan benih yang berlaku pada bulan yang lain menghasilkan anak perempuan.

Asas bagi penggunaan kalendar untuk menentukan jantina anak tidak begitu difahami dan tidak boleh diterima oleh ahli-ahli sains perubatan.

Sesetengah orang percaya jenis makanan boleh mempengaruhi jantina anak yang dilahirkan. Ada yang percaya jika seseorang lelaki makan banyak makanan laut seperti udang, ikan atau sotong, besar kemungkinan anak lelaki akan dihasilkan. Tidak terdapat bukti jelas dari segi sains perubatan yang dapat menyokong pendapat tersebut.

Selain daripada cara yang disebutkan, cara perubatan moden juga boleh digunakan untuk menentukan jantina sebelum dilahirkan. Cara termoden ialah melalui pemisahan benih lelaki Y daripada X.

Seperti yang dinyatakan, benih lelaki akan menentukan jantina anak dan ini bergantung kepada benih mana yang bercantum dengan telur perempuan. Jika ia bercantum dengan benih Y hasilnya anak lelaki รข€“ hasil percantuman XY. Jika percantuman itu dengan benih X hasilnya ialah anak perempuan (XX).

Air mani lelaki akan dikeluarkan tanpa persetubuhan ataupun diperolehi menerusi sarung kondom selepas persetubuhan. Kemudian air mani itu menjalani satu proses yang boleh memisahkan benih Y dengan benih X. Setelah dipisahkan, benih yang dipilih kemudian disuntikkan ke dalam rahim isteri pada waktu yang tertentu iaitu pada ketika ia mengeluarkan telur. Teknik pemisahan benih Y dengan X masih dalam peringkat penyelidikan lagi dan ia memerlukan teknologi yang tinggi.

Laporan dari negara Jepun, Israel dan Amerika yang mempunyai kemampuan teknologi menunjukkan pakar sains perubatan telah berjaya memisahkan benih X dengan benih Y menerusi satu teknik yang digelar chromatography, tetapi malangnya teknologi terbaru ini belum dapat dipraktikkan di negara kita.

Saya percaya di suatu masa kelak teknik ini akan dapat kita amalkan untuk merawat pasangan kelamin yang betul-betul mengkehendakinya. Terdapat banyak cara digunakan oleh ahli sains perubatan untuk memisahkan benih Y dengan X. Antara cara yang sering dilaporkan dalam suratkhabar ialah cara yang dipopularkan oleh Ericson. Tidak lama dahulu perkara ini telah menjadi satu isu di akhbar Singapura dan tempatan. Ini berlaku kerana terdapat beberapa orang doktor yang cuba membuat franchise bagi teknik ini.

Dalam ilmu dan amalan perubatan, seseorang doktor tidak boleh membuat franchise terhadap apa jua teknik yang digunakan. Jika ia mengetahui sesuatu cara rawatan perlulah disebarkan kepada semua, tidak ada had bagi doktor lain untuk menggunakannya. Akhirnya, doktor yang berkenaan di Singapura digantung lesen praktiknya.

Dalam cara pemisahan benih Y dan X yang dilaporkan oleh Ericson, pada asasnya ia menggunakan albumin untuk memisahkan benih X dengan Y. Proses pemisahan ini dilakukan dengan mudah dan satu tabung uji berasaskan pada pergerakan benih Y dengan lebih cepat.

Benih ini akan berkumpul pada satu lapisan yang tertentu. Apabila benih Y ini telah terkumpul, bahagian tersebut diambil dan seterusnya disuntikkan ke dalam rahim isteri iaitu ketika waktu suburnya.

Cara ini tidak boleh menjamin kejayaan seratus peratus. Ada yang mengatakan kadar kejayaan bagi jantina yang dikehendaki ialah dalam lingkungan 70 peratus sahaja.

Satu perkara yang penting dalam rawatan ini ialah tatacara suntikan atau insemination. Ini dilakukan selepas benih lelaki berjaya melalui proses pemisahan. Insemination atau persemanian adalah satu tatacara yang dengan mudahnya boleh dilakukan di klinik.

Ia tidak memerlukan peralatan yang rumit dan tidak juga memerlukan ubat bius. Apa yang diperlukan ialah alat untuk memeriksa kemaluan wanita dan satu alat penyuntik benih yang khas untuk menyuntikkan benih ke dalam rahim. Selepas menjalani tatacara persemanian ini, wanita itu perlu berehat setengah jam untuk memberi peluang benih masuk ke dalam rahimnya.

Untuk menentukan kejayaan persemanian, perkara yang amat penting ialah penentuan waktu subur yang tepat. Seperti apa yang saya telah terangkan lebih awal, pada waktu subur ini, wanita akan mengeluarkan telurnya. Biasanya telur wanita ini tidak hidup lama, hanya sekadar 24 jam hingga ke-48 jam sahaja.

Oleh itu penting bagi wanita tersebut dan doktor yang merawatnya mengetahui waktu yang tepat bagi pengeluaran telur tersebut supaya persemanian boleh dilakukan pada ketika itu.

Dalam bab yang lalu, saya telah bincangkan dengan panjang lebar masalah ini. Saya ingin jelaskan sekali lagi kerana mengenal waktu subur ini sangat penting untuk menjayakan sesuatu kehamilan. Ada banyak cara yang boleh digunakan oleh wanita untuk menentukan waktu suburnya. Pertama dia boleh menyukat suhu badan setiap pagi sejurus selepas bangun tetapi sebelum dia mandi atau memberus gigi.

Suhu badan ini kemudian dicatatkan pada satu carta khas. Jika dicatatkan berterusan selama sebulan iaitu sejurus keluar haid hingga ke haid yang berikutnya, ini akan menghasilkan satu bentuk cara yang boleh memberi petunjuk sama ada wanita itu mengeluarkan telur atau tidak. Ia juga akan memberi petunjuk bila wanita itu mengeluarkan telurnya. Pengeluaran telur ini dalam pusingan 28 hari, biasanya berlaku 13 atau 14 hari selepas mula hari pertama haid.

Cara kedua ialah dengan mengkaji lendir dari faraj. Untuk mendapatkan contoh lendir ini, seseorang wanita perlu memasukkan jarinya ke dalam kemaluan. Ini lebih baik dilakukan sejurus selepas berhadas kecil. Tentukan kuku tidak panjang dan masukkan jari ke dalam lubang faraj sehingga terasa pangkal rahim yang keras seperti hidung.

Dari situ dia akan mendapat sedikit lendir yang akan terlekat pada jarinya. Lendir pangkal rahim ini sering berubah bentuk dan rupanya mengikut pusingan haid. Sebelum waktu subur lendir ini adalah jernih tetapi tidak banyak dan tidak mudah dijalurkan (stretch). Pada waktu subur iaitu yang biasanya jatuh pada hari 13 atau 14 selepas hari pertama haid, lendir ini menjadi banyak, cair, jernih dan mudah dijalurkan.

Inilah waktunya seseorang wanita itu sangat subur. Setelah telur keluar satu atau dua hari kemudiannya lendir ini menjadi kesat dan tidak jernih lagi dan serba keputihan warnanya. Ini menunjukkan hari subur telah berlalu.

Untuk mengesan waktu subur dengan lebih tepat lagi beberapa ujian makmal boleh dilakukan. Ini berasaskan pada ujian lendir pangkal rahim ataupun dengan cara menyukat paras hormon tertentu yang perlu dilakukan berkali-kali apabila seseorang wanita mendekati waktu subur.

Cara lain ialah dengan membuat pemeriksaan ultrasound secara berulang kali. Dalam pemeriksaan ultrasound ini, seseorang doktor boleh mengesan bila benih itu keluar. Perlu ditekankan di sini tidak semua doktor boleh membuat ujian ini dan tidak semua alat ultrasound boleh membuat siasatan tersebut. Boleh dikatakan di Malaysia ini hanya satu atau dua tempat sahaja yang boleh berbuat demikian dan salah satunya ialah Klinik Kesuburan LPPKN sendiri.

Setakat ini teknik pemisahan benih Y dan X belum dapat dipraktikkan di Malaysia. Apa yang selalu dilakukan oleh doktor hanyalah memberi nasihat kepada pasangan kelamin tersebut mengenai waktu keluar telur ini atau waktu subur dan seterusnya menasihatkan mereka seperti berikut:

Jika pasangan ingin mendapatkan anak lelaki mereka dinasihatkan supaya mengadakan persetubuhan tepat pada waktu isterinya subur. Mereka tidak boleh melakukan persetubuhan beberapa hari sebelum waktu subur tetapi boleh meneruskannya selepas waktu subur itu.

Sesetengah pakar perubatan berpendapat jika pH dalam kemaluan boleh diubah kepada alkaline sedikit, ada kemungkinan anak lelaki dihasilkan. Bagaimana caranya untuk mengubah pH dalam kemaluan? Setengah jam sebelum persetubuhan, sebaiknya dilakukan satu prosedur yang digelar douching atau membasuh bahagian dalam kemaluan dengan cecair yang khas.

Dalam hal ini, cecair yang sesuai ialah sodium bicarbonate 8.4 peratus. Douching ini memerlukan satu alat seperti tiub dimasukkan ke dalam kemaluan dan pancutkan air yang dinyatakan di dalamnya. Cara melakukan prosedur ini boleh diajarkan oleh jururawat di klinik.

Jika anak perempuan pula yang dikehendaki, adalah dipercayai waktu persetubuhan seeloknya dilakukan 24 jam sebelum pengeluaran telur. Tegasnya pasangan tersebut bolehlah melakukan persetubuhan pada hari ke-11 atau 12 bagi mereka yang mengeluarkan telur pada hari ke-13, iaitu 24 jam sebelum telur perempuan keluar. Persetubuhan terpaksa dihentikan 4 atau 5 hari kemudiannya.

Adalah dipercayai juga jika pH di dalam faraj boleh ditukarkan kepada sH, ada kemungkinan anak perempuan dilahirkan. Bagaimana hendak menukarkan pH ini? Beberapa cecair yang asid sedikit seperti Lactacyd boleh dilakukan secara douching seperti yang dinyatakan. Douching ini juga perlu dilakukan setengah jam sebelum persetubuhan.

Dalam usaha memilih jantina yang dikehendaki perlu ditegaskan segala usaha dalam kudrat Allah s.w.t. Manusia merancang dan berusaha, Tuhanlah yang mengurniakan. Dalam rawatan perubatan seperti ini, seseorang doktor tidak boleh memberi jaminan kejayaannya. Mengikut kajian yang telah dilakukan, usaha pemilihan jantina ini hanya dalam lingkungan 70 peratus sahaja.

Seandainya pasangan itu tidak berjaya mendapat apa yang dikehendaki janganlah mereka mengeluh dan menyesal. Reaksi tersebut adalah satu tanda yang menunjukkan kita tidak bersyukur dengan rahmat yang diberikan oleh Tuhan.

Apa yang penting, kita bersyukur kerana bayi telah dilahirkan dengan selamat dan cukup sifatnya walaupun dia bukan jantina yang kita hajati. Setiap anak Islam sama ada lelaki atau perempuan perlu diingatkan tentang keislamannya ketika dilahirkan dengan menyeru azan atau kamat. Bagi mereka yang ingin mencuba saya ucapkan selamat berjaya.

Lepas ni kena ikut teknik yang betullah... cuma ada terpikir, berapa yer kos untuk buat semua ni kalau kita perlukan khidmat pakar?


petikan http://www.hamidarshat.com
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...