18 August, 2010

On 10:14:00 AM by Aliza in
PUJIAN harus diberikan kepada ibu yang memberikan susu badan kepada anak. Walaupun kesedaran mengenai kepentingan memberikan susu badan semakin meningkat, ia masih belum mencapai sasaran.

Kajian Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan 1996 menunjukkan, kadar penyusuan badan hanya sekitar 88.6 peratus dan masih banyak usaha perlu dilakukan untuk menggalakkan semua ibu di negara ini memberikan susu badan secara eksklusif selama enam bulan.

Penghasilan susu akan bertambah dengan penurunan paras hormon progesteron, iaitu dalam tempoh 30 hingga 40 jam selepas bersalin.

Pada ketika ini, badan akan merembeskan prolaktin dan oksitosin (hormon yang menghasilkan susu). Hisapan puting oleh bayi juga akan merangsang penghasilan susu.

Paras prolaktin perlu tinggi untuk membolehkan susu dihasilkan. Bagaimanapun, ada kalanya pengeluaran susu terhenti jika penyusuan tidak berlaku secara sempurna dan susu yang terhasil tidak keluar dari payudara, walaupun paras prolaktin tinggi.

Biasanya bayi hanya menyusu tiga kali dalam tempoh 24 hingga 48 jam selepas kelahiran.

Kekerapan ini akan meningkat pada hari kelima dan menurun kembali pada hari ketujuh atau kelapan.

Namun ada cara untuk menggalakkan penyusuan ibu iaitu tidak memberikan puting tiruan kepada bayi. Ia bukan saja tidak membantu, malah menyukarkan bayi untuk menyusu susu ibunya.

Seperkara yang menarik, bayi tidak akan mengalami masalah keracunan kerana susu ibu adalah makanan paling bersih dan steril, walaupun ibu menghidap penyakit. Malah, ia boleh diberi sekerap mungkin selama mana bayi memerlukannya.

Beberapa faktor boleh merencatkan penghasilan susu badan iaitu apabila ibu berasa runsing, takut, sakit, malu dan bimbang. Malah, tabiat merokok dan minum minuman keras perlu dihindarkan sama sekali, baik ketika mengandung atau selepas bersalin.

Memberi susu badan bukan saja mendatangkan manfaat kepada ibu dan anak, tetapi kesannya turut dirasai masyarakat.

Ibu harus faham, bayi anda berhak mendapat makanan terbaik dan anak tidak sepatutnya diberikan makanan atau minuman selain susu ibu, kecuali atas sebab tertentu.

Manfaat kepada bayi:

• Susu ibu mengandungi protein, lemak dan asid lemak omega 3 yang mudah hadam untuk membantu perkembangan
mental.
• Antibodi dalam susu ibu melindungi bayi daripada jangkitan dan penyakit gangguan usus, masalah pernafasan dan
jangkitan telinga.
• Susu ibu mengurangkan risiko penyakit kencing manis dan kanser di kalangan kanak-kanak.
• Kanak-kanak yang diberikan susu badan terlindung daripada masalah alahan.
• Susu badan mengurangkan risiko radang usus bagi bayi pramatang.
• Susu badan juga mengurangkan masalah karies gigi, penglihatan, pertuturan dan menguatkan rahang.
• Memberikan susu badan mengelakkan sindrom kematian bayi secara mengejut.
• Susu badan dikatakan mampu merendahkan risiko diserang penyakit jantung apabila dewasa kelak.
• Anak yang diberikan susu badan kurang mendapat masalah cirit-birit dan ini akan mengurangkan perbelanjaan
perubatan.
• Merapatkan hubungan di antara ibu dan anak.

Manfaat kepada ibu:

• Melindungi ibu daripada kanser payu dara dan rahim.
• Membantu mengurangkan berat badan secara semula jadi dan mengempiskan perut kerana hormon oksitosin yang
dihasilkan mempercepatkan pengecutan rahim.
• Proses di atas akan mengurangkan tempoh pengeluaran darah nifas.
• Mempercepatkan pemulihan luka selepas bersalin.
• Merendahkan risiko osteoporosis dan masalah jantung.
• Menjimatkan belanja untuk membeli susu formula.
• Pemberian susu badan antara cara merancang keluarga dan dapat menjarakkan anak secara semula jadi.
• Biasanya ibu yang memberikan susu badan akan berasa lebih puas hati dapat menjalankan tanggungjawabnya
sebagai ibu.

Manfaat kepada masyarakat:

• Pasangan yang baru mendapat anak masih boleh meluangkan masa untuk bersama keluarga dan masyarakat.
• Mengurangkan kos rawatan, perubatan dan ujian makmal.
• Menjimatkan sumber alam sekitar kerana penggunaan tenaga dan pencemaran dikurangkan.
• Apabila anak sihat, ibu dan bapa boleh menumpukan perhatian kepada kerja dan menjadi lebih produktif.

SEMUA ibu bapa mempunyai impian memberikan kehidupan sempurna kepada anak sebaik mereka dilahirkan.

Memang tidak mudah memberikan kehidupan sempurna, tetapi ia boleh dimulakan pada hari pertama anak dilahirkan ke dunia.

Caranya mudah iaitu dengan hanya memberikan susu badan kepada si kecil. Susu badan ialah makanan paling lengkap yang dianugerahkan Allah kepada bayi dan ia tidak sepatutnya disia-siakan begitu saja.

Susu ibu mengandungi semua khasiat diperlukan bayi untuk pertumbuhan dan perkembangan sempurna.

Ia juga makanan unik kerana kandungan susu ibu akan berubah secara automatik mengikut keperluan bayi dan membekalkan air secukupnya pada cuaca panas atau sejuk.

Bahkan, ia makanan paling bersih dan selamat; boleh diberikan pada bila-bila masa, walaupun ketika bayi sakit atau ibu menghidap penyakit demam kepialu, taun atau hepatitis.

Memang, khasiat susu ibu sudah acap kali dibincangkan, tetapi tidak salah jika ditulis lagi sebagai pengetahuan mengenai kandungan pemakanan yang diberikan kepada anak.

Susu ibu mengandungi faktor penentang jangkitan seperti sel darah putih untuk membunuh bakteria; imunoglobulin (antibodi) melindungi bayi daripada jangkitan umum sehingga badan bayi mampu menghasilkan antibodinya sendiri; bifidus yang membantu pembiakan bakteria Laktobasilus bifidus bagi mengelakkan cirit-birit dan laktoferin untuk memberi zat besi dan menghalang pembiakan bakteria berbahaya dalam badan bayi.

Kandungan kolustrum dalam susu yang dihasilkan pada tiga hari pertama selepas kelahiran bayi mengandungi lebih banyak antibodi dan sel darah putih.

Rangsang usus

Ia turut membantu merangsang perkembangan usus yang belum matang kerana tanpa kolustrum, makanan lain boleh merosakkan usus dan menyebabkan alahan.

Selain itu, kolustrum bertindak sebagai laksatif yang membantu bayi mengeluarkan najis pertama dan mengelak mendapat demam kuning.

Laporan Tabung Kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unicef) mengatakan, susu badan eksklusif ini dapat menyelamatkan 1.3 juta nyawa setahun atau 3,500 nyawa kanak-kanak setiap hari.

Bayi yang diberikan susu badan juga mempunyai sistem pertahanan lebih baik dan kurang diserang demam, cirit-birit, jangkitan telinga dan saluran pernafasan serta alahan.

Bahkan, ada kajian menunjukkan penyusuan susu ibu boleh mengelakkan masalah obesiti dan pelbagai penyakit kronik apabila dewasa kelak.

Seperkara yang nyata, walau semiskin mana pun, ibu masih boleh memberikan makanan terbaik untuk anak mereka.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyarankan supaya ibu memberikan susu badan secara eksklusif selama enam bulan sebelum memperkenalkan makanan tambahan kepada si kecil.

Menurut Perunding Paediatrik, Dr Nur Atiqah Ng Abdullah, makanan tambahan boleh diperkenalkan apabila bayi mencecah umur enam bulan bagi bayi yang diberikan susu ibu sepenuhnya.

Manakala bagi bayi yang juga bergantung kepada susu formula, pemberian makanan tambahan boleh dimulakan seawal umur empat bulan kerana pada ketika ini mereka memerlukan lebih banyak khasiat untuk membesar.

“Ibu tidak perlu risau anak mengalami masalah kurang zat jika diberikan susu badan semata-mata, kerana kandungan susu akan berubah secara automatik mengikut keperluan badan anak.

“Apabila anak mencapai umur enam bulan, mereka mula menjalani pertumbuhan dan perkembangan cepat. Ia juga penting untuk mengelakkan perkembangan terbantut, terutama bagi bayi yang bergantung kepada susu formula.

“Perlu diingat, makanan ini bukan pengganti susu badan. Ia hanya sebagai makanan tambahan. Justeru, susu badan perlu diteruskan, jika dapat sehingga bayi berumur dua tahun,” katanya dalam ceramah umum selepas pelancaran Manual Pengurusan Penyusuan dan Sambutan Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia 2005 anjuran Pusat Perubatan Pantai.

Makanan apa yang boleh diberikan kepada bayi? Sebagai permulaan, bolehlah memberi bubur nasi atau bijirin kosong.

Berikan pada tengah hari dengan sukatan dua camca teh. Jika bayi tidak menunjukkan reaksi alahan, ia boleh diberikan lagi.

Dr Nur Atiqah berkata, berikan sukatan sama untuk beberapa hari dan tambah sukatan kepada tiga hingga empat camca teh setiap hari.

“Sebaik-baiknya kekalkan satu jenis bubur untuk ‘memberi kebiasaan’ kepada usus bayi yang belum matang. Kemudian baru campurkan bahan lain seperti lobak merah, kentang atau ikan bilis. Mempelbagaikan bahan campuran dalam bubur bayi akan memberi lebih banyak khasiat kepada anak.

“Apabila bayi berumur tujuh atau lapan bulan; atau anak menunjukkan pergerakan mengunyah, bolehlah masakkan bubur yang lebih pekat.

“Soal kebersihan mesti diutamakan apabila menyediakan makanan bayi. Steril dulu peralatan digunakan dengan merendam dalam air panas baru mendidih dan jika dapat, jangan kongsi peralatan ini dengan ahli keluarga lain,” katanya.

Sebaik-baiknya makanan bayi ini disediakan sejurus sebelum diberikan, tetapi jika terpaksa disimpan dalam peti sejuk, pastikan ia disimpan dan dipanaskan dengan baik untuk mengelakkan keracunan makanan.

Seperkara lagi, secara amnya bayi tidak memerlukan pil makanan tambahan kerana khasiat daripada susu ibu sudah cukup untuk menjamin mereka membesar dengan sempurna.

petikan dari forum Dr. Hamid Arshad

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...