18 August, 2010

On 10:06:00 AM by Aliza in
Susu ibu mengandungi segala khasiat yang diperlukan oleh bayi. Malah susu ibu juga merupakan imunisasi yang pertama untuk seseorang bayi, mudah dicerna dan sentiasa boleh diperolehi dengan suhu yang sesuai pada bila-bila masa.

Penyusuan ibu pada bulan-bulan awal selepas kelahiran boleh membantu pertumbuhan dan perkembangan kecerdasan seseorang bayi.

Dengan menyusui bayi, ibu juga akan mendapat beberapa kebaikan. Penyusuan ibu dapat menjalinkan perhubungan rapat antara ibu dan anak. Ia juga membantu mengecutkan rahim ibu kepada saiz asal yang lebih cepat. Ramai ibu juga kembali kepada berat dan bentuk asal dengan lebih mudah. Anda juga boleh menghindari penyakit barah buah dada dan barah ovari. Penyusuan dengan susu ibu dapat menjimatkan masa dan belanja.

Bolehkan Semua Wanita Menyusui Bayi?

Hampir semua wanita boleh menyusui bayi. Ukuran buah dada tidak boleh dijadikan ukuran sebanyak mana susu akan dihasilkan.

Kekerapan bayi menghisap akan merangsang lagi penghasilan susu ibu yang banyak. Masalah puting buah dada yang leper atau tenggelam boleh diatasi semasa hamil dengan mendapatkan nasihat doktor atau jururawat.
Untuk menampung buah dada semasa hamil, baju dalam yang berukuran satu saiz lebih besar daripada biasa adalah diperlukan.

Pada bulan-bulan akhir kehamilan, elakkan daripada mencuci buah dada dengan menggunakan sabun atau bahan-bahan lain yang boleh mengeringkannya. Gunakan air biasa sahaja.
Pastikan buah dada diperiksa oleh doktor pada awal kehamilan untuk memastikan puting buah dada tidak tenggelam dan tidak mengalami masalah-masalah lain.

Pada bulan-bulan akhir anda harus belajar teknik dan cara memerah susu. Ini akan membantu anda selepas kelahiran bayi anda.

Selepas Melahirkan Bayi

Pengalaman menyusui bayi yang baru lahir adalah sesuatu yaang membanggakan seseorang ibu.
Bayi yang baru lahir mempunyai naluri hisapan yang kuat. Jadi, susuilah bayi sebaik sahaja dilahirkan dan pada bila-bila masa bayi kelihatan lapar. Jika bayi tidur lebih 3 jam, kejutkan dia dan galakkan ia menyusu.
Pada masa-masa awal selepas kelahiran, bayi hanya perlu menghisap susu ibu untuk tempoh beberapa minit sahaja. Berikan bayi menyusu lebih lama jika ia ingin terus menghisap. Keperluan seseorang ibu dan bayi yang dilahirkan adalah berbeza dengan ibu dan bayi yang lain.
Pada peringkat awal selepas melahirkan bayi, susu ibu tidaklah banyak tetapi pekat dan berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum dan kaya dengan protein serta antibodi yang boleh melindungi bayi dari penyakit. Kolostrum ini sudah cukup untuk mengenyangkan bayi anda. Bayi tidak perlu diberi susu botol ataupun air.
Penyusuan yang sekejap tetapi kerap akan mengelakkan buah dada daripada menjadi bengkak. Ini akan menambahkan lagi penghasilan susu ibu. Jika buah dada anda terasa kepenuhan atau bengkak, anda harus terus menyusukan bayi dengan lebih kerap lagi. Biasanya rasa kepenuhan ini akan dirasa dalam masa 2 - 3 hari sahaja.

petikan dari forum Dr. Hamid Arshad


suara hati ibu: terkilan semasa melahirkan anak pertama
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...