Q&A : Isteri jangan dizalimi walaupun tak suka

9:26:00 AM Aliza 0 Comments


Islam saran wanita pilih suami soleh sebagai keutamaan ketika cari pasangan

Soalan:

SAYA ingin mengetahui ciri-ciri suami derhaka dalam konsep Islam. Bagaimanakah seorang suami boleh terjerumus ke arah suami derhaka? Adakah suami derhaka dianggap satu dosa dalam Islam?

ADILA,
Petaling Jaya.

Jawapan:

DALAM surah an-Nisa' ayat 19, Allah SWT berfirman: "Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci terhadap mereka (disebabkan tingkah lakunya, jangan kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu sedang Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak (untuk kamu)."

Ayat di atas jelas menunjukkan bahawa Islam menuntut agar suami melayan isterinya dengan baik dan tidak menzalimi mereka. Orang berakhlak mulia adalah orang yang baik dengan isterinya seperti dalam sebuah hadis riwayat al-Tirmizi, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya orang yang paling baik antara kamu semua adalah orang yang paling baik terhadap isterinya dan aku adalah orang yang terbaik antara kamu semua (dalam membuat kebaikan) terhadap isteriku."

Begitu juga sabdanya lagi: "Orang yang paling sempurna imannya adalah yang terbaik akhlaknya antara mereka dan yang paling baik adalah yang paling baik akhlaknya terhadap isteri-isterinya."

Justeru, mereka yang sudah bergelar suami perlu bersikap bijaksana, sabar, adil, bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangga. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa' ayat 34 bermaksud: "Kaum lelaki itu adalah pemimpin terhadap kaum perempuan."

Ini bukan bermakna, lelaki bebas melakukan kezaliman kepada wanita. Bahkan mereka menanggung amanah Allah yang akan dipersoal di akhirat kelak. Islam mengajar supaya adil dalam semua perkara. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nahl ayat 90 yang bermaksud: "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebaikan serta memberi bantuan kepada kaum kerabat, melarang daripada melakukan perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. Dia mengajar kamu (dengan suruhan dan larangan-Nya ini) supaya kamu mengambil peringatan mematuhi-Nya."

Begitu juga suami yang baik hendaklah bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan isteri dan anak seperti makanan dan pakaian. Dalam sebuah hadis riwayat Abu Daud, daripada Hakim bin Mu'awiyyah, beliau berkata bahawa ia pernah mendengar ayahnya berkata bahawa dia pernah bertanya kepada Rasulullah: "Wahai Rasulullah! Apakah hak isteri kami ke atas suami? Rasulullah bersabda: Memberinya makan apabila kamu makan, memberinya pakaian apabila kamu berpakaian." Mungkin pada masa kini suami isteri bekerja, tetapi ia tidak bermakna suami sudah terlepas tanggungjawab memberi nafkah.

Namun, isteri walaupun pendapatannya besar, ia tetap tidak bertanggungjawab untuk mencari nafkah. Justeru, suami yang baik hendaklah memberi nafkah bersesuaian kemampuan suami. Allah SWT berfirman dalam surah an-Nisa' ayat 34 bermaksud : "Kaum lelaki itu adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana ALLAH sudah melebihkan orang lelaki (dengan beberapa keistimewaan) berbanding kaum wanita dan juga kerana orang lelaki sudah membelanjakan (memberi nafkah) sebahagian dari harta mereka."

Kepada saudari yang bertanya, sememangnya ada suami yang menzalimi isteri. Kerana itu, Islam menyuruh untuk memilih aspek soleh sebagai keutamaan memilih bakal suami. Suami yang soleh sekali-kali tidak akan menzalimi isterinya walaupun ia tidak menyukai isterinya dan kedua, mungkin saja suami yang tidak menyukai isteri disebabkan sikap isteri.

Seperti yang disebut oleh pakar motivasi, Datuk Dr Fadzillah Kamsah, kadang-kadang isteri suka mencabar suami apabila bergaduh. Kedua, isteri tidak menjaga mulut sehingga terlepas perkataan yang menyebabkan hati suami sakit. Ketiga, isteri tidak malu iaitu tidak menjaga batas pergaulan dengan lelaki asing. Keempat, isteri tidak menjaga penampilan di hadapan suami tetapi bersolek berlebihan apabila keluar rumah. Kelima, isteri cemburu berlebih-lebihan dan sebagainya. Semua perkara ini perlulah dimuhasabah kembali dan dibaiki agar keadaan menjadi lebih baik.

Wallahua'lam.

Sumber : Persoalan Agama oleh Ustaz Zahazan Mohamed di BHarian 13/02/2011

NB: Hemmm... Ustaz Zahazan macam tidak menjawab soalan yang dikemukakan. Yang disebut oleh pakar motivasi tiada kena-mengena dengan soalan. Harap ustaz tidak berniat untuk menyembunyikan ilmu. Perihal suami derhaka ini memang tidak banyak dikupas secara detail oleh ustaz dan ustazah, jika dibandingkan dengan isteri derhaka. Adakah ini bermaksud, tidak mengapa jika suami itu derhaka, tetapi isteri tidak boleh derhaka. Walhal perkara suami derhaka ini ada tertulis dalam kitab-kitab tafsir lama.

Mengapa kebanyakan ulama seolah-olah menutup isu begini? Hanya mereka dan Allah maha Mengetahui mengapa mereka 'mengelak' atau 'mengelat' untuk bercakap tentang ini, sedangkan ada ditulis dalam al-Quran, marhum-Nya, "Dan jika seorang perempuan bimbang akan nusyuz, atau atau sikap acuh tidak acuh suaminya, maka tidak mengapa bagi keduanya mengadakan perdamaian yang sebenar-benarnya, dan perdamaian itu lebih baik." (Surah an-Nisaa' ayat 128)

Saya cuba berbaik sangka dan mengandaikan ustaz Zahazan menjawab soalan secara berlapik (siapa faham, fahamlah ya), iaitu, jika kesemua yang disebut dalam awal jawapan tidak disempurnakan oleh seorang suami, maka itulah ciri-ciri suami derhaka.

petikan dari:
http://laman-seri.blogspot.com
Capaian entry berkaitan suami nusyuz @ derhaka :

0 comments:

Google+ Followers

Follow by Email

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...