photo header2-1.png

cemburu yang digalakkan

Assalamualaikum,

Daripada Ibnu Umar radhiallahu 'anhuma dari Nabi s.a.w., sabdanya:
"Tidak boleh hasad melainkan dua macam perkara, iaitu: seseorang yang dikurniai oleh Allah kepandaian dalam al-Quran, mengertikan dan lain-lain, kemudian ia suka bersembahyang dengan membaca al-Quran itu pada waktu malam dan siang, juga seseorang yang dikurnia oleh Allah akan harta lalu ia menafkahkannya pada waktu malam dan siang." (Muttafaq 'alaih)

Maka sekiranya seseorang Islam itu pandai membaca Al-Quran dan mengerti akan maananya, maka kita patut cemburu kepadanya kerana peluang untuk ia ke syurga adalah lebih tinggi daripada yang tidak tahu membaca dan mengerti maana Al-Quran. Begitu juga sekiranya seseorang itu dikurniakan rezeki yang banyak, maka digunakan harta-hartanya untuk menafkahkannya kepada fakir miskin dan orang-orang yang perlukan pertolongan, maka timbangan amalnya di akhirat kelak akan menambah berat dan peluang untuk memasuki syurga adalah lebih tinggi dari orang yang bakhil yang menggunakan harta-hartanya untuk bersenang-lenang di dunia dan untuk kegunaan dirinya sendiri Dalam ayat 8-9, Surah Al-A'raaf Allah SWT berfirman yang bermaksud:


وَالْوَزْنُ يَوْمَئِذٍ الْحَقُّ فَمَن ثَقُلَتْ مَوَازِينُهُ فَأُوْلَـئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ
[
8] Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.

وَمَنْ خَفَّتْ مَوَازِينُهُ فَأُوْلَـئِكَ الَّذِينَ خَسِرُواْ أَنفُسَهُم بِمَا كَانُواْ بِآيَاتِنَا يِظْلِمُونَ
[9] Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakkannya pada bukan tempatnya).
Surah Al-A'raaf (7)

Wallahu'alam...

Bila dengar lagu yang anak-anak aku suka

video


video

3 Kebahagiaan Insan


Tiada siapa yang inginkan kesedihan, kemurungan dan keresahan. Jika ditanya kepada sesipa sahaja pun, saya yakin dan pasti yang mereka akan berkehendakan akan kebahagian. Hidup tanpa bahagia ibarat terbakar dalam neraka dunia. Namun apakah itu kebahagian sebenarnya, adakah wang ringgit, adakah makanan yang lazat, adakah anak-anak atau segala perkara material yang mampu kita lihat atau mungkin ianya merupakan satu perasaan yang mana kita merasa aman, sentiasa ceria walaupun bermasalah.

Saya berpandangan, langkah paling awal untuk mengecap kebahagian adalah memahami diri sendiri dalam erti kata lain menguasai segala sifat negatif yang selama ini terbentuk dalam benak minda hingga ada yang dizahirkan dengan perbuatan. Selagi kita duduk dalam lingakaran energi negatif maka kita tidak akan dapat lari dari tempiasnya. Lebih memburukkan keadaan, apabila ia terkumpul dan terpendam menjadi satu gunung berapi dalam diri yang boleh meletus pada bila-bila masa sahaja. Setelah itu kita akan melihat kedatangan kebahagian namun jangan dilupa bahawa kebahagian duniawi anak Adam terbit atas tiga perkara yang kadangkala kita lupa untuk mengupasnya dengan penuh hikmah.

Dalam sebuah hadis, daripada Saad bin Abi Waqqas dinyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Kebahagiaan anak Adam itu ada tiga, manakala kecelakaannya juga ada tiga. Sesetengah daripada kebahagiaan anak Adam itu ialah isteri yang soleh, tempat tinggal yang baik dan kenderaan yang elok. Dan sebahagian kecelakaan manusia itu ialah isteri yang jahat, rumah yang buruk dan kenderaan yang buruk." (HR. Ahmad). Secara mudahnya kebahagian, akan datang dengan jelas apabila kita mempunyai tiga perkara, yakni, isteri (pasangan) tempat tinggal, dan kenderaan. Mungkin lebih bagus seandainya kita dapat mengupasnya sedikit secara satu persatu.

Isteri

Jika kita lihat hal ini cukup linear kerana seandainya kita dan isteri tidak sehaluan mana mungkin kita akan mengecap kebahagian. Saya sering mengatakannya dari sudut sekufu yang sama arah dan tahap pemikiran. Jika kita mempunyai masalah dalam rumahtangga, kita selalunya akan membawanya ke tempat kerja maka hasil produktiviti kerja akan jatuh merudum dan mungkin lama kelamaan kita boleh hilang pekerjaan dan kepercayaan yang diberi oleh majikan. Masalah dalam berpasangan ini sering mencetuskan emosi yang tidak terhenti dan emosi yang ada dalam minda akan memberi reflek fizikal yang negatif juga.

Dari emosi ini lahirlah kata-kata nista, timbullah prasangka dan akibatnya kita akan sentiasa diselubungi suasana yang negatif. Bagi saya, yang lebih buruk adalah apabila ianya melibatkan rezeki kerana apabila rezeki mula terjejas, hilanglah kewarasan minda. Kita akan mula membuat keputusan yang diakhirnya memberi beban yang berat dalam mengharungi kehidupan. Justeru itu, apabila diri kita sudah menjadi positif, kita juga perlu sehaluan dengan pasangan kita dan apabila isteri adalah isteri yang solehah maka ketaatannya akan membuat kita kurang berlaga fikiran. Ini akan membawa kepada keharmonian dan rezeki yang lebar lagi luas.

Tempat tinggal

Ada teman saya yang bertanya kepada saya beberapa tahun yang lalu, mengapa sewaktu dia tinggal di rumah lamanya rezekinya mencurah-curah namun apabila dia berpindah ke rumah barunya terasa keperitan dari pelbagai segi. Masalah demi masalah mendatang dan banyak perkara yang merundung malang menjelma. Jawapannya ada di dalam hadis tadi. Apabila tempat tinggal yang kita diami, tidak mempunyai energi yang baik maka secara automatik kita juga akan merasa kurang selesa. Keadaan kurang selesa akan menimbulkan keluhan.


Keluhan pula akan memberi impak negatif dalam suasana rumah maka sebab itu orang dahulu cukup pantang mengeluh di dalam rumah. Saya melihat penjelasan tentang rumah yang buruk itu bukan dari sudut fizikalnya tetapi dari sudut gelombangnya. Cuba kita lihat, sebuah rumah yang besar dan indah tetapi apabila kita masuk ke dalam ruangannya kita berasa kuarang aman, kurang selesa dan banyak keresahan. Hal ini mungkin terjadi apabila penghuninya tidak mengingati Allah swt dengan sewajarnya dan mungkin juga apabila pulang ke rumah, masalah serta tekanan tempat kerja yang ada dalam minda di bawa ke rumah.

Nah… gelombang tekanan (beta) kini mengambil rumah sebagai terminalnya dan akhirnya rumah tersebut penuh dengan ketidakselesaan. Apa yang terjadi? Saya mengambil perkara pokok yang banyak diperkatakan orang…rezeki. Apabila keadaan rumah penuh dengan negativiti maka rezeki dengan sendiri bermasalah. Maka kita menjadi orang yang bukan sahaja rugi akhirat bahkan rugi juga di dunia.

Kenderaan

Perihal kenderaan ini, saya rasa sudah ramai yang sedia maklum bahawa jika kita ingin menjual kereta kita dilarang untuk memperkatakannya dalam kereta tersebut kerana nanti ditakuti akan merajuk dan rosak. Ini yang dikatakan kebahagian kenderaan, jika sering rosak maka seringlah bocor poket kita. Justeru kenderaan yang baik juga datangnya dari kita. Yang dikatakan kenderaan buruk itu hanyalah metafora, tidak bermakna kita perlu membeli kenderaan baru untuk bahagia.

Maka kenderaan juga memperlihatkan perjalanan yang baik. Jagalah tiga perkara dan renungkanlah tiga perkara ini sebagai langkah awal untuk mengecap kebahagian. InsyaAllah, saya akan mengupasnya dengan lebih detail dari sudut pandangan spiritual bagaimana ketiga-tiga ini memberi impak dalam perjalanan kita menemui Allah yang maha pengasih lagi maha penyayang.


petikan dari : Bawang goreng

Punca isteri hilang hormat pada suami


Suami adalah ketua dan pemimpin keluarga, maka wajar sekali dia dihormati. Malah Islam sendiri mewajibkan seorang isteri menghormati dan mendahului suami dalam segala hal, selagi ia tidak bertentangan dengan syarak. Namun begitu, tatkala ini, telah banyak perkara yang sebaliknya pula berlaku, iaitu isteri hilang rasa hormat pada suami.

Jika isteri dahulu tunduk kepada segala kata-kata suami, kini sudah ramai isteri yang besar kepala, malah berani pula melawan kata-kata suami, ibarat lupa bahawa syurga seorang isteri itu bila suaminya redha kepadanya. Tidak dinafikan terdapat isteri yang secara terang-terangan menunjukkan sikap tidak hormat pada suami. Mengapakah perkara sebegini berlaku? Mari kita lihat punca-punca yang boleh dikaitkan kepada permasalahan ini.

1. Tingkah laku suami

Antaranya rasa hormat terhadap pasangan sebenarnya boleh hilang gara-gara tingkah laku suami tidak sesuai dengan keinginan isteri. Mungkin kerana isteri menganggap suami telah melanggar prinsip-prinsip yang selama ini dipegang teguh. Ia mungkin boleh jadi hanya disebabkan perkara yang kecil sahaja, namun kerana telah melanggar prinsip, maka rasa hormat makin kurang terutama jika ia dilakukan berkali-kali.

Sebagai contoh, suami sering kali tidak menepati janji ataupun terlalu kerap berbohong. Tindakan yang sama dan asyik diulang-ulang akan menyebabkan seorang isteri hilang kesabaran dan benih-benih tidak hormat mula terbit dalam hatinya. Ditambah pula dengan godaan syaitan yang tidak pernah berhenti mencari jalan untuk memporak-perandakan perhubungan suami isteri, isteri mula termakan hasutan syaitan.

2. Standard tidak realistik

Penyebab lain lunturnya sikap hormat terhadap suami adalah kerana kecenderungan isteri menilai suami pada standard yang tidak realistik. Sebagai contoh, si isteri membandingkan suaminya dengan tokoh lelaki yang dihormatinya. Mereka mengharapkan si suami berkelakuan seperti tokoh ataupun idolanya tanpa menyedari bahawa suaminya adalah seorang insan yang cukup berbeza daripada apa yang diharapkannya. Inilah yang boleh menyebabkan punca berlakunya pertengkaran. Mereka bertengkar kerana suami tidak berkelakuan seperti yang diharapkan.

3. Tidak menghargai isteri

Selain itu, sikap suami yang tidak menghargai isteri juga boleh menjadi punca isteri hilang rasa hormat. Sebagai contoh, suami tidak menghargai susah payah isteri bekerja mencari pendapatan lebih untuk keluarga. Malah suami memandang remeh tentang kerja yang dilakukan oleh isterinya.

Keadaan sebegini lama kelamaan boleh menyimpan rasa sakit hati kerana suami tidak menghargai apa yang dilakukan oleh isteri. Perasaan marah dan sakit hati akan menciptakan suasana yang sangat tidak menyenangkan dalam perkahwinan. Apa yang dilakukan oleh suami akan dilihat tidak bererti lagi. Pada tahap ini, sikap saling menghargai sudah mula luntur dengan cepat sehingga membahayakan semua struktur perkahwinan.

Petanda

Ada beberapa petanda yang boleh memberi petunjuk bahawa rasa hormat terhadap pasangan sudah mula pudar. Petunjuk itu antaranya adalah :
  • Seorang isteri mula memperkatakan kekurangan suami di depan rakan-rakan anda. Hati-hati kerana itulah tanda awal yang paling mudah dikenali.
  • Sering berjenaka atau mengeluarkan sindiran yang sinis lagi tajam terhadap suami.
  • Mula bersikap kasar terhadap suami, seriring dengan yang mulai hilang, isteri juga jadi malas untuk bersikap lembut, manis dan sensitif terhadap suami.
  • Cara isteri mendengar cerita dan keluh kesah suami mula berubah. Ada empat tahap mendengar iaitu mendengar bersungguh-sungguh, memberi tidak balas, mendengar sepintas lalu dan akhir sekali tidak peduli. Jika anda sudah enggan mendengar cerita suami, maka tahap tidak hormat anda pada suami memang sudah terlalu tinggi.

Menilai diri

Jika suami merasakan isteri sudah mula ada tanda-tanda tidak hormat pada suami, maka sudah tiba masanya anda menilai akauntabiliti sebagai pemimpin rumahtangga yang layak dihormati. Mungkin anda tidak menunaikan hak-hak isteri, maka sudah tentulah rasa hormat itu akan kikis sedikit demi sedikit.

Jika isteri pula sudah mula ada tanda-tanda tidak hormat pada suami dalam diri, maka sebaiknya anda patut mula mengamati apakah penyebabnya. Mungkin ia kerana suami anda memang ego, sombong mahupun tidak matang.

Namun begitu, anda sendiri sebagai isteri, seharusnya mula menilai diri. Antaranya dengan bertanyakan pada diri anda sendiri persoalan "adakah anda menghargai diri anda sendiri?" Jika anda tidak menghargai diri anda sendiri, bagaimana anda mahu menghargai orang lain? Kedua, tanyakan apakah anda bersungguh-sungguh tidak menghargai suami? Dan akhir sekali, tanyakan pada diri anda, dapatkah hati anda menerima hakikat bahawa suami anda tidak menghormati anda?

Sekiranya rasa hormat sudah semakin hilang, maka untuk membangunkannya kembali memang bukan sesuatu yang mudah. Boleh jadi sikap tidak menghargai pasangan ini sudah tertanam sejak kecil lagi kerana menuruti sikap orang tua yang suka mengkritik dan tidak menghargai pasangan. Apa yang dilihat sekian lama akan diikuti bila anak sudah berumahtangga.

Sebenarnya jika anda sukar menghargai suami, ada kemungkinan anda memang tidak mampu menghargai orang lain yang ada di persekitaran anda. Perasaan terluka atau sakit hati kerana sikap suami membutakan mata dan hati anda sehingga tidak dapat melihat perkara yang baik atau positif yang dilakukan oleh suami dan wajar dihargai.

Bila hilang rasa hormat sudah mencapai tahap ini, maka sering kali yang terlintas di fikiran anda adalah perpisahan atau cerai. Kalau ini yang sedang bermain dalam fikiran anda, maka fikir dulu sedalam-dalamnya. Anda masih punya peluang untuk memperbaiki hubungan dengan suami. Mulakannya dengan membincangkan masalah ini dengannya. Kalau perlu, buat satu senarai yang seharusnya anda lakukan dan perkara yang perlu anda hindarkan.

Memang diakui, membicarakan masalah sebegini dengan pasangan agak sukar, tetapi jika anda masih sayangkan suami dan rumahtangga yang anda bina, maka ungkapkanlah segalanya dengan perasaan jujur dan lembut. Jauhkan dari sindiran atau ucapan sinis kerana ia boleh membuat suasana semakin tegang.

Renung-renungkan…

Capaian entry berkaitan :

  1. Jadilah pasangan terbaik
  2. Pengabaian Hak Seorang Isteri/Suami
  3. Suami mithali idaman isteri
  4. Petua Memikat Hati Isteri
  5. 50 Tips Suami Mithali
  6. Tanggungjawap lelaki sebagai suami dan ketua keluarga
  7. Wanita wajib taat suami selagi tak langgar syarak
  8. Balasan pahala jika suami bersabar sikap buruk isteri
  9. Layakkah anda dihormati sebagai suami?
  10. Jadilah suami idaman
  11. Isteri beriman bantu kekal kebahagiaan rumah tangga
  12. Suami kena berazam jadi ketua keluarga terbaik

petikan daripada

Bahasa isteri yang perlu difahami suami

komunikasi yang betul keserasian rumah tangga sukar diwujudkan. Sikap isteri dalam keadaan tertentu sukar difahami suami. Dia akan terus berteka-teki dalam perkara itu namun tidak mahu berterus terang. Apabila isteri melakukan sesuatu perkara selalu disalahtafsirkan.

Mereka ini walaupun berkahwin setelah melalui proses perkenalan yang panjang, namun peluang yang ada itu tidak digunakan untuk saling mengenali hati budi masing-masing. Mereka terlupa untuk mempelajari kaedah komunikasi yang berkesan sebagai suami isteri.

Walaupun mereka bertunang bertahun-tahun, namun mereka tidak sempat untuk menilai apakah antara mereka ada perbezaan yang boleh saling lengkap melangkapi. Mereka terlupa untuk melihat keserasian pasangan secara lebih jelas.

Biasanya waktu berkawan mereka terlalu enjoy, hendak seronok sahaja. Semua yang ada pada kekasih masing-masing dilihat indah walaupun buruk. Pada waktu bertunang pula mereka asyik berbincang soal persiapan fizikal sahaja. Padahal jika mereka mengambil puluang itu untuk mengenali peribadi, perwatakan, dan isi budi masing-masing adalah lebih bermanfaat.

Sebenarnya, sewaktu berkawan dan bertunang adalah waktu terbaik untuk mereka mengenali semua itu. Mereka harus mengenali cara pasangannya bercakap, cara dia bertindak dan sebagainya. Semua yang dilakukan itu melambangkan sikapnya sebenar. Jika mereka benar-benar faham, banyak yang boleh diatasi semasa berkahwin.

Kesan daripada tidak faham kaedah komunikasi yang berkesan itu, banyak pasangan yang berkahwin mengalami krisis. Sikap isteri tidak difahami oleh suami hingga kadang-kadang perkara kecil menjadi besar. Dalam ruang ini saya cuba paparkan sikap isteri yang seharusnya suami tahu dan bertindak bagi mengatasinya.

1. Waktu merajuk

Bil

Sikap

Maksudnya

Mengatasinya

1

Tiba-tiba tak mahu bercakap

Dia tidak suka dengan tindakan suami sebelum itu

Berterus terang maksud tindakan, jika perlu minta maaf

2

Tiba-tiba marahkan suami

Dia cemburu dengan tindakan suami

Perlu selidek puncanya, mungkin salah sangka. Jika pasti, berterus terang, bukan menipu

3

Tiba-tiba menangis

Dia sakit hati dengan tindakan suami

Beri penjelasan isu yang ditimbulkan. Beri keyakinan tentang kasih sayang.

4

Tidak mahu memberi khidmat

Dia sungguh kecewa dengan sikap suami

Nilai semua kesilapan suami, dan betulkan semula apa yang tidak disenangi. Jika masih tidak mahu menerima, tinggalkan dia di rumah untuk memberi ruang dia berfikir

Suami yang tidak memahahami sikap isteri di atas akan bersangka buruk terhadap isterinya malah ada yang menuduh isteri curang.

2. Waktu gembira

Bil

Sikap

Maksudnya

Mengatasinya

1

Dia sudah rajin masak

Tindakan suami sebelum itu menyenangkan hatinya

Teruskan sikap itu, jika perlu puji kerajinannya

2

Dia tidak banyak soal waktu kepulangan suami

Dia puas hati dengan tindakan suami

Ucapkan terima kasih kepada isterinya dan menten keadaan itu

3

Dia siap untuk tidur awal

Dia sudah akur dengan kehendak suami

Belajari sikap dan pengalaman manis itu untuk tidak mengulangi kebencian isteri

4

Dia bercakap dengan nada manja

Dia mahu suaminya bersikap seperti itu juga

Hargai sikap isteri dan jauhi dari sikap kontra

Suami yang tidak faham dengan tindakan isteri akan terus menyangka isterinya ada udang di sebalik batu. Akhirnya suami tidak bertindak yang sewajarnya.

3. Waktu benci

Bil

Sikap

Maksudnya

Mengatasinya

1

Kehendak suami tidak dilayan

Dia mahu suami mengubah sikap yang buruk

Baiki kesilapan bukan mempertahankannya

2

Tidak mahu bercakap apabila ditanya walaupun dengan baik

Dia memprotes sikap suami yang tidak istiqamah berbuat baik

Menilai sikap diri mana yang buruk dibuang dan yang baik diperbanyakkan

3

Makan tidak selera

Dia mahu simpati daripada suaminya

Suami perlu melihat masalah isteri dan cuba selamatkan. Tetapi jangan sampai melanggar syariat

4

Tidur seorang diri

Dia mahu suaminya bertanggungjawab kepada dirinya

Suami perlu menilai kelemahan diri dan cuba membaiki kekurangan itu demi kasih sayang

Oleh sebab tidak faham tindakan isteri suami terus marah kepada isteri. Dan atas sikapnya yang tidak sabar itu mereka bergaduh.

4. Waktu mengharap

Bil

Sikap

Maksudnya

Mengatasinya

1

Muka masam

Apa yang diharapkan tidak menjadi kenyataan

Bertanya sebab dan cuba atasi kehendaknya

2

Meminta maaf sambil menangis

Dia benar-benar insaf

Terimalah seadanya dia, dan selepas memaafkannya, nasihatkan berdasarkan kehendak Islam dan apa yang anda mahu

3

Melihat sesuatu barangan dalam tempoh yang lama dan memujinya

Dia hendak meminta suami membelinya

Suami perlu memberi pertimbangan sewajarnya sama ada untuk membelikannya atau tidak

Contoh sikap isteri yang dipaparkan ini mungkin tidak bermaksud begitu, tetapi sebagai suami, tindakan isteri perlu dikaji dengan teliti. Kadang-kadang yang tersurat tidak sama dengan yang tersirat.. Beruntunglah mereka yang boleh menilai dengan tepat. Tetapi yang paling penting semua yang berlaku harus disangka baik. Nanti yang negatif akan menjadi positif.


Oleh Ustaz Ahmad Baei Jaafar   


Musibah matinya hati

KEHADIRAN bulan Safar al-Khair mengimbau kembali kisah kegeringan Rasulullah SAW sebelum menghembuskan nafasnya yang terakhir pada 12 Rabiulawal. Jika Rasulullah SAW itu adalah kekasih dan keutamaan kita, maka sudah tentu saat-saat yang memilukan itu menarik perhatian dan perasaan kita.

Sesungguhnya kewafatan Rasulullah SAW adalah musibah terbesar bagi umat Islam sehingga terdapat ulama yang menulis buku khusus mengenai musibah kewafatan Rasulullah. Setelah kewafatan Baginda, ada yang masih lemah imannya menjadi murtad, tidak mahu menunaikan zakat dan berpecah belah. Sesungguhnya inilah musibah terbesar yang pernah menimpa sahabat-sahabat Baginda. Hanya kekentalan iman menjadi penyelamat ketika itu.

Hari ini, umat Islam ditimpa musibah yang tidak kurang besarnya iaitu matinya hati. Pelbagai peringatan yang diberikan tetapi bak mencurah air di daun keladi. Inilah penyakit hati yang dikhuatiri oleh Rasulullah akan berlaku ke atas umatnya. Inilah kematian yang paling sukar untuk dipastikan kerana tidak ditandai dengan kain kapan putih ataupun batu nisan.

Apa pun, selaku insan yang sentiasa menginsafi diri, kita masih boleh menghisab diri, apakah musibah ini telah mengenai diri kita atau kita termasuk di kalangan mereka yang terselamat. Terdapat tiga tanda yang digariskan oleh ulama iaitu, tidak merasa sedih apabila tidak berkesempatan melakukan amal ketaatan, tidak menyesal apabila terlanjur melakukan dosa dan suka bersahabat dengan orang-orang yang lalai dan telah mati hatinya. Inilah alamat ringkas yang diletakkan oleh Syeikh Ibnu 'Atoillah dalam kalam hikmahnya.

Maka dapat difahami bahawa keriangan dan kegembiraan seseorang kerana ketaatan yang dilakukannya dan kesedihan seseorang disebabkan maksiat yang dilakukannya merupakan tanda hidupnya hati seseorang. Rasulullah SAW telah bersabda:

"Sesiapa yang digembirakan oleh kebaikannya dan disedihkan oleh kejahatannya, maka dia adalah orang mukmin." (riwayat Imam Ahmad, Tirmizi dan al-Hakim)

Namun, ini bukanlah kegembiraan yang bercampur dengan perasaan 'ujub. Orang yang bersifat 'ujub hanya memandang kepada daya dan kekuatannya dan lupa tentang anugerah Allah dalam mengurniakan taufik dan hidayah kepadanya. Hendaklah kita menjauhi sifat 'ujub kerana ia boleh menghapuskan pahala amal-amal yang dilakukan. Begitu juga perasaan riak.

Amal kebaikan merupakan tanda keredaan Allah dan keredaan-Nya membawa kepada kegembiraan. Manakala amal kejahatan merupakan tanda kemurkaan Allah dan kemurkaan-Nya membawa kepada kesedihan. Sesiapa yang diredai oleh Allah, maka Allah mengizinkannya untuk melakukan amal soleh. Sesiapa yang dimurkai oleh Allah, maka Allah meninggalkannya dan membiarkannya berada dalam kelalaian dan kehinaan.

Abdullah ibn Mas'ud RA berkata:

"Orang mukmin melihat dosa-dosanya seolah-olah dia sedang berada di kaki gunung; dia takut kalau gunung itu akan menghempapnya. Manakala ahli maksiat melihat dosanya hanya seperti seekor lalat yang hinggap di hidungnya maka mudah untuk menghalaunya."

Namun demikian, tidak sepatutnya pula seseorang hamba yang apabila telah melakukan dosa, dikalahkan oleh kesalahan yang dilakukannya. Dikalahkan dalam bentuk bersikap pesimis, tidak lagi mengharap keampunan Tuhannya dan berprasangka buruk terhadap Tuhannya. Bagi orang yang benar-benar beriman dan hidup hatinya, rasa khawf dan raja' (takut dan harap kepada Allah) mesti ada pada dirinya. Allah telah menyifatkan para nabi dan rasul-Nya serta pengikut mereka dari kalangan kaum mukminin yang solehin dengan kedua-dua sifat ini, sebagaimana firman-Nya dalam surah al-Israa' ayat 57.

"Orang yang mereka seru itu, masing-masing mencari jalan kepada Tuhannya, siapakah yang lebih dekat serta mereka mengharapkan rahmat-Nya dan gerun takut akan azab-Nya; sesungguhnya azab Tuhanmu itu, adalah ditakuti."

Syeikh Ibnu 'Atoillah RA menyatakan dalam Hikamnya: "Janganlah kerana besarnya dosa di sisi kamu, menghalang kamu daripada berprasangka baik dengan Allah kerana orang yang telah kenal Tuhannya, nescaya akan menganggap dosanya kecil di sisi kemurahan Allah yang luas."

Manakala sebab yang membawa kepada matinya hati ialah :

  1. Cintakan dunia
  2. Lalai daripada mengingati Allah
  3. Menggunakan anggota untuk melakukan maksiat.

Di antara perosak yang terbesar ialah kasih terhadap dunia, berkeinginan kepadanya, sangat tamak terhadapnya, berminat dengannya, kasihkan pangkat dan harta dunia dan tamak terhadap keduanya, kikir dan bakhil dengan harta dunia. Firman Allah dalam surah Hud ayat 15-16.

"Sesiapa yang berkehendakkan kehidupan dunia dan perhiasannya, maka Kami penuhi usaha mereka di dunia, dan mereka tidak dikurangkan daripadanya. Mereka tidak beroleh di akhirat kelak selain daripada neraka, dan gugurlah apa yang mereka lakukan di dunia, dan batallah apa yang mereka telah kerjakan."

Kecintaan kepada dunia adalah kepala segala kejahatan. Ia akan menghalang seseorang daripada melakukan kebaikan akibat hati yang telah digelapi oleh perkara-perkara keduniaan. Justeru, Syeikh Ibnu 'Atoillah menyatakan

"Bagaimana hati dapat bercahaya, sedangkan gambaran-gambaran alam maya termeteri di cermin hati?"

Allah SWT menjadikan hati manusia itu seperti cermin yang memaparkan dan memantulkan imej setiap benda yang dihadapkan kepadanya. Cermin itu pula hanya mempunyai satu muka. Apabila Allah SWT hendak memberikan inayah-Nya kepada seseorang hamba, maka Dia menyibukkan fikiran hamba tersebut dengan cahaya-cahaya-Nya dan pelbagai kebaikan dan Dia tidak membelenggu atau menambat hati hamba tersebut dengan suatu perkara dari alam yang gelap dan khayalan yang meragukan. Maka terpaparlah di cermin hatinya cahaya-cahaya iman dan ihsan, dan terpancarlah padanya cahaya tauhid dan makrifah.

Begitulah sebaliknya, jika Allah mahu membiarkan seseorang hamba (mengeluarkannya daripada inayah-Nya) dengan keadilan dan kebijaksanaan-Nya, maka Dia akan menyibukkan pemikiran hamba tersebut dengan kegelapan dunia dan syahwat. Maka kegelapan dunia ini akan terpapar di cermin hatinya. Lalu hatinya akan terhijab daripada sinar makrifah dan cahaya keimanan.

Semakin banyak gambaran dunia bertindih-tindih di cermin hatinya, maka semakin pudar cahayanya dan semakin tebal hijabnya. Maka dia tidak akan dapat melihat melainkan apa yang zahir sahaja dan dia tidak dapat berfikir melainkan perkara lahiriah sahaja.

Ada di antara hijabnya sangat dahsyat hingga menutup seluruh hati dan seluruh cahaya terpadam hingga dia menafikan terus kewujudan cahaya dari asalnya. Semoga dilindungi oleh Allah.

Ada di antaranya pula, hanya sedikit karatnya dan nipis hijabnya, maka dia mengakui kewujudan cahaya tersebut tetapi tidak dapat melihatnya. Ini ialah makam (kedudukan) kaum Muslimin awam.

Dalam hadis Rasulullah SAW bersabda:

"Sesungguhnya hati itu akan berkarat sepertimana karatnya besi, dan sesungguhnya iman itu akan lusuh seperti lusuhnya baju yang baru."

Namun dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda:

"Setiap sesuatu itu ada penggilapnya dan penggilap hati ialah zikrullah."

Sabda Rasulullah SAW juga:

"Sesungguhnya seseorang hamba itu apabila melakukan kesalahan, digores di dalam hatinya dengan bintik hitam. Sekiranya dia menanggalkannya dan memohon keampunan, maka ia akan berkilau. Sekiranya dia kembali melakukan kesalahan, ditambah pada hatinya bintik hitam tersebut sehingga menyelubungi hatinya."

Maka itulah selaput kegelapan yang telah difirmankan oleh Allah dalam surah al-Mutoffifin ayat 14.

"Sekali-kali tidak! Bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab apa yang mereka kerjakan."

Cahaya iman dan ihsan

Ketahui bahawa hati itu hanya mempunyai satu wajah, apabila kamu hadapkan cahaya kepadanya maka ia akan bersinar, dan apabila kamu hadapkan kegelapan kepadanya maka ia akan menggelap, kegelapan dan cahaya itu tidak pernah bersatu, maka fahamilah pula kata-kata Syeikh Ibnu 'Atoillah yang menyebut:

"Bagaimanakah hati itu boleh bersinar dengan cahaya iman dan ihsan, sedangkan gambaran alam dan dunia yang gelap terpapar di cermin hati?"

Sesungguhnya dua perkara yang berlawanan tidak mungkin akan bersatu sebagaimana firman Allah SWT pada surah al Ahzaab ayat 4.

"Allah tidak menjadikan seorang lelaki mempunyai dua hati dalam rongga dadanya…"

Sedarlah wahai insan! Kamu tidak memiliki dua hati tetapi hanya satu. Apabila kamu hadapkan hati kamu itu kepada makhluk dan dunia ini, maka ia akan membelakangkan Allah. Apabila kamu hadapkannya kepada Allah, maka ia akan membelakangkan makhluk dan kamu akan mampu berjalan kepada Allah. Selama kamu tertambat dengan syahwat dan keduniaan kamu di dalam alam ini, maka kamu tidak akan mungkin dapat berjalan kepada Tuhan kamu, tidak juga kepada apa yang diisyaratkan oleh Syeikh Ibnu 'Atoillah al Sakandari RA.

Selama hati masih tertawan atau terpenjara di dalam penjara kecenderungan atau keinginan kepada sesuatu yang akan binasa, dia masih terikat dengannya. Orang yang mempunyai hati sedemikian, tidak akan dapat berjalan menuju kepada keredaan Allah. Bahkan, tidak akan terpancar ke atasnya cahaya makrifat. Keterikatan hatinya dengan syahwat merupakan penghalang yang akan menegah dan menghalangnya daripada menuju kepada Allah disebabkan kesibukan dan keasyikannya dengan perkara-perkara yang memalingkannya daripada berjalan menuju kepada Allah.

Sekalipun tidak dinafikan dia mungkin dapat berjalan bersama nafsu syahwatnya, nafsunya akan melemahkan dan menghalangnya daripada dapat berjalan dengan cepat kerana kecenderungannya terhadap nafsu syahwatnya. Sekalipun dia mungkin dapat berjalan dengan cepat, dia tetap tidak akan aman daripada perkara-perkara yang akan menggelincirkannya kerana keseronokan dan kesenangannya dengan syahwat tersebut.

Sebab itu, para pembesar Sufi meninggalkan kelazatannya, sehingga berkata sebahagian daripada mereka: "Sengatan tebuan atas badan yang luka itu lebih ringan daripada sengatan syahwat atas hati orang yang sedang bertawajjuh kepada Allah." (Ibnu 'Ajibah, Iqaz al-Himam, H: 44)

Justeru, wahai saudaraku! Putuskanlah dan lepaskanlah dirimu dari perkara yang menghalang perjalanan kamu. Berjalan dan berhijrahlah kamu kerana hijrah adalah merupakan sunnah Rasulullah SAW. Semenjak Nabi SAW berhijrah, Baginda SAW tidak pernah menikmati masa untuk berehat melainkan di dalam musafir untuk berjihad sehingga Allah membuka sebuah negara untuknya.

Begitu juga para sahabat, hanya segelintir sahaja daripada mereka yang tinggal tetap di negara mereka sehingga dengan tangan-tangan mereka Allah membuka negara-negara yang lain dan memberikan petunjuk kepada hamba-hamba Allah yang lain. Semoga Allah memanfaatkan kita dengan keberkatan mereka, Amin.

Hidupkanlah hati kita dengan meninggalkan terlebih dahulu perkara-perkara yang boleh menggelapkan dan mematikan hati. Selanjutnya sinarilah ia dengan cahaya-cahaya ketaatan dan keikhlasan. Sesungguhnya hati yang hidup akan sentiasa mendorong pemiliknya melakukan amal dan ketaatan dan meninggalkan dosa dan k

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA
NEGERI SEMBILAN

Jangan remehkan isu halal

SESEKALI masyarakat Islam di negara ini digemparkan dengan dakwaan sesuatu produk itu diragui status halalnya. Mereka akan menjadi begitu cemas serta menjadi berhati-hati dalam membuat pembelian makanan atau produk berkaitan.

Tidak kurang juga yang menjadi jaguh debat, pantas menuding jari kepada pelbagai pihak yang dipertanggungjawabkan dengan penguatkuasaan halal.


Pihak ini bagaimanapun gagal menuding jari kepada diri sendiri, gagal melihat kepada kelemahan dalam membuat penilaian dan pemilihan sebelum membuat transaksi pembelian.

Daripada roti kepada sosej, ubat gigi dan pinggan mangkuk, itu ialah antara produk yang dikaitkan dengan isu halal beberapa ketika dulu.

Terdapat juga laporan mengenai beberapa produk kesihatan yang diuji dan didapati tidak halal kerana mengunakan kapsul gelatin daripada babi.

Cuma apabila 'ribut' berakhir, sesetengah pengguna Islam kembali ke takuk lama. Soal keliru atau terpedaya tidak lagi menjadi polemik menghiasi ruangan berita atau surat pembaca. Keprihatinan mereka tentang halal tidak ubah seperti 'ribut di dalam cangkir'!

Tidak persoal

Mereka tidak lagi memberatkan status halal haram dan kembali makan apa sahaja yang sedap pada tekak meskipun di premis yang tidak memaparkan logo atau sijil halal.

Mereka juga membeli apa yang menarik perhatian tanpa ada rasa tanggung jawab untuk meluangkan masa, membaca label produk, meneliti kandungan ramuan mahu pun memeriksa nama atau identiti pengilang!

"Masa belajar di luar negara, saya memang teliti kalau nak membeli barang makanan. Balik ke Malaysia, saya beli apa sahaja, lagi pun produk buatan Malaysia tidak mungkin tidak halal," kata Nor, seorang pekerja swasta memberitahu penulis apabila ditanya pandangannya tentang isu halal.

"Ada tulis halal, mesti halalkan?," soal seorang peniaga yang rata-rata barang yang dijualnya makanan ringan dan pembelinya kebanyakan kanak-kanak sekolah.

Satu daripada produk yang begitu laris dijual ialah serbuk pelbagai warna perasa yoghurt yang diisi di dalam sampul plastik panjang. Produk dari Filipina ini mempunyai perkataan 'halal'.

Sikap Nor dan peniaga ini mungkin juga dikongsi sebahagian besar masyarakat pengguna Muslim di negara ini. Antara tidak tahu atau tidak mahu ambil tahu, ramai yang akhirnya dikhuatiri terpedaya dan tertipu!

Pandang remeh

Menurut Pengarah Hub Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Saimah Mukhtar, meskipun perkataan halal itu sendiri tidak wajar dipandang remeh tetapi keadaan itulah yang banyak berlaku sekarang.

"Di premis makanan bukan Islam, letak sahaja perkataan halal atau lihat juruwang atau pelayan bertudung, ramai orang Islam yang masuk makan.

"Begitu juga jika penjual itu pakai kopiah putih, terus buat andaian orang Muslim dan beli apa yang dijualnya.

"Inilah sikap sesetengah orang Islam kita yang pandang ringan soal halal," katanya kepada Bernama dalam satu wawancara baru-baru ini.

Beliau turut menarik perhatian kepada sesetengah pengguna Islam yang sanggup berkunjung ke sesebuah premis makanan bukan Islam hanya kerana ia mempamerkan perkataan "bebas babi" atau "bebas alkohol".

"Ini amat mengelirukan. Tak ada babi atau tak ada alkohol tak bermakna halal," tegas Saimah.

Beliau menegaskan sesetengah pengguna Islam juga tidak memberatkan aspek 'thoyiban' yang boleh dikaitkan dengan semua aspek positif seperti berzat, bersih, berkualiti, selamat dan tidak membawa kemudaratan kepada manusia.

Dalam sesetengah kes, ada juga orang Islam yang sanggup berkunjung ke premis makanan bukan Islam meskipun tiada jaminan halal hanya kerana makanan yang dijual sedap.

Penolong Pengarah, Cawangan Pemantauan dan Penguatkuasaan, Bahagian Hub Halal Jakim, Amri Abdullah memberitahu Bernama, beliau pernah mengajukan soalan kepada pelanggan Islam ketika membuat operasi di sebuah premis makanan.

Pelanggan berkenaan, katanya, dengan wajah yang selamba menjawab,: "Makanan sedap ustaz." meskipun beliau maklum pengusaha restoran tersebut bukan orang Islam.

Dalil halal

Di samping gaya hidup yang sihat, makanan sering dikaitkan sebagai faktor penting yang menentukan tahap kesihatan dan kesejahteraan minda serta tubuh badan seseorang individu.

Bagi masyarakat Islam, pemilihan makanan sewajarnya bukan sahaja mengutamakan kandungan khasiat atau zat.

Ini kerana Islam mempunyai piawaian atau standard tersendiri iaitu 'halalan thoyiban' (halal, baik dan selamat) dalam soal makanan dan pemakanan.

Perkara ini banyak ditekankan melalui firman-firman Allah SWT serta hadis Rasulullah SAW.

Antara firman Allah SWT ialah dalam surah Al Baqarah ayat 168 yang bermaksud: "Wahai manusia! Makanlah dari (makanan) yang halal dan baik yang terdapat di bumi, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, syaitan itu musuh yang nyata bagimu."

Pengaruh halal kepada peribadi

Kehalalan makanan mengikut syariat agama mempunyai pengaruh besar kepada pembentukan serta perkembangan peribadi seseorang Muslim.

Ini bermakna setiap makanan yang tidak halal yang dimakan oleh seseorang Muslim akan menjadi menjadi darah daging dan akan memberi kesan kepada pembentukan serta perkembangan peribadinya.

Justeru, mulia atau buruknya peribadi serta pekerti seseorang Muslim itu ternyata bersandar kuat kepada halal atau haram makanan yang masuk ke dalam perutnya.

Jika haram makanan yang dimakan, ia bukan sahaja akan menjejaskan ketakwaan dan nilai ibadat seseorang individu Muslim itu tetapi juga akan mengakibatkannya dicampak ke dalam api neraka.

Maksud halal

Halal berasal daripada perkataan Arab yang membawa makna 'dibenarkan' atau 'dibolehkan' oleh hukum Syarak.

Jakim menggariskan 'hukum Syarak' bermakna undang-undang Islam dalam mazhab Syafie atau dalam mana-mana mazhab Maliki, Hambali atau Hanafi yang telah mendapat persetujuan Yang di-Pertuan Agong.

Undang-undang itu juga telah dikuatkuasakan dalam Wilayah Persekutuan atau oleh Raja bagi mana-mana negeri dikuatkuasakan di dalam negeri berkenaan.

Konsep Halalan Thoyiban juga bukan hanya terbatas kepada bersih dan suci daripada babi atau najis tetapi juga mengambil kira aspek yang lebih meluas untuk apa sahaja yang hendak dimakan, diminum atau digunakan.

Antaranya halal dalam cara memperolehnya yang tidak melalui cara haram seperti mencuri, merompak atau rasuah dan piawaian ketat Islam ini juga mencakupi cara pemprosesan serta penyimpanan. Bermula dari ladang sampai ke meja.

Takrif di bawah Akta Perihal Dagangan

Di samping itu, takrif 'Halal' juga diperjelas di dalam Akta Perihal Dagangan (APD) 1972 di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Mengikut Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan "Halal") 1975, takrif 'Halal' bukan terdiri daripada atau mengandungi apa-apa bahagian atau benda daripada binatang yang orang Islam dilarang oleh hukum Syarak memakannya atau yang tidak disembelih mengikut hukum Syarak.

Ia juga bermaksud tidak mengandungi apa-apa benda yang dihukum sebagai najis mengikut hukum Syarak.

Ia juga tidak disedia, diproses atau dikilang dengan menggunakan apa-apa alat yang tidak bebas dari benda-benda najis mengkut hukum Syarak.

Impak perbahasaan

Perintah tersebut juga menggariskan peraturan membabitkan penyediaan pemprosesan serta penyimpanan yang tidak bersentuhan atau berdekatan dengan apa-apa makanan yang tidak memenuhi kehendak-kehendak di atas atau apa-apa benda yang dihukum najis mengikut hukum Syarak.

Takrif 'Halal' di bawah Perintah Perihal Dagangan (Penggunaan Perbahasaan) mempunyai implikasi yang mungkin tidak disedari pengguna lebih-lebih lagi pengilang.

Menurut Saimah, ia mempunyai kesan yang cukup besar meskipun tidak ada akta setakat ini yang mewajibkan produk atau industri menggunakan perkataan halal sama ada dalam bentuk logo atau perkataan.

Beliau memberi contoh 'perbahasaan' termasuk perkataan halal (Rumi atau Jawi), ayat Quran, perkataan Allah, Muhammad atau Bismillah, gambar Kaabah, perempuan bertudung, lelaki bersongkok yang boleh ditafsirkan sebagai halal.

"Apabila pihak industri atau premis atau apa mana-mana pihak menggunakan perbahasaan itu, terbukti tidak halal, atau sebaliknya, tindakan boleh di ambil di mana denda sehingga RM250,000 boleh dikenakan.

"Peranan Jakim ialah sebagai badan pensijilan yang memberi pengesahan halal melalui sijil logo, sementara tindakan boleh diambil sama ada oleh KPDNKK atau Kementerian Dalam Negeri," jelas Saimah. -- Bernama

Penyelenggaraan Hati

 


Lirik lagu HIJAZ :

Pandangan Mata Selalu Menipu
Pandangan Akal Selalu Tersalah
Pandangan Nafsu Selalu Melulu
Pandangan Hati itu Yang Hakiki
Kalau Hati itu Bersih

Hati Kalau Terlalu Bersih
Pandangannya Kan Menembusi Hijab
Hati Jika Sudah Bersih
firasatnya Tepat Kehendak Allah
Tapi Hati Bila Dikotori
Bisikannya Bukan Lagi Kebenaran

Hati Tempat Jatuhnya Pandangan Allah
Jasad Lahir Tumpuan Manusia
Utamakanlah Pandangan Allah
Daripada Pandangan Manusia


Jelas hati mempunyai peranan yang penting ?

hari cuti anak-anak

sebenarnya cuti raya cina ni kami tak ke mana pun, tak balik kampung, tak bershopping, tak bersuka ria... sebab kami dah amik cuti awal sebelum raya cina, dah berjalan jauh sebelum raya cina. hari rabu lepas kami balik kodiang.. (kodiang kat mana cari dalam peta) balik bukan bersuka-suka, tapi ada kematian, pak ngah aku meninggal, eksiden.. semuanya gara-gara kelalaian pemandu yang tak berhemah, jadi arwah menjadi mangsa. so bila dapat berita seawal 7.30 pagi, kami sekeluarga bergegas balik, bertolak dari nilai hinggalah kodiang... tak ingat berapa jam perjalanan sebab en. suami aku bawa kete macam nak berlumba. alhamdulillah sempat juga kulihat wajah terakhir arwah.
oklah cerita di atas cuma pembuka bicara hehehehe pembuka bicara kenapa kami tak berjalan ke mana-mana raya cina lepas, so terjelepuk kat umah.. kalau ada kuar pun g kenduri tahlil arwah pakngah ku n jalan g makan, itu jer. so inilah hasil daripada cuti anak-anak yang panjang.












Apa yang ada Dalam Peti Ais?

Dalam Peti ais ada cekelat kinder bueno lagi, tinggal 2 kotak lagi, ada susu anlene.. (sedap...) ada susu dutch lady segar n strawberry, ada air bebudak, ada tuna, ada susu perahan adik....


ada apa lagi erk...

Vote for adik


Salam semua, Nama saya NURQAIREEN ALIZA BINTI ALIAS. Saya lahir pada 28.08.2008 cantikkan tarikh lahir saya. orang semua cakap saya pandai bergaya. kalau kengkawan nak tau sayalah model Lampin Wuddah kekekekekeke. Votelah saya dengan klik "LIKE"

Hari Ahad Yang Penuh

semalam ahad... papa luangkan masa untuk family... kekekekekeke ibu tak moncongs bila papa bawa jalan... anak-anak suker ajer ... (tengs abang.... sebab buat kami rasa sonok). so seperti yang dirancang kami pergi Alamanda Putrajaya g makan sushi.. memula ingat nak nengok wayang, tapi sebab kena g jengok pil kat umah sil.. so kami tukar plan. nanti baru nengok wayang. tapi yang pastinya kami dah makan sushi King kat Alamanda.

amik gambar dulu sebelum pilih apa yang nak dimakan


adik muka takde perasaan jer, sbab dapat minum


ini antara sushi yang kami makan... banyak woo kami makan. air yang kak long minum tu yang kaler oren tu regenya rm7 heheheeh air kotak jer beb.


ini chef nya


tengoklah adik.. dia takmo makan, dia nak minum jer. bila ada sushi yang sedap baru dia nak makan


kak long plak makan sushi macam makan nasi, digaul-gaulnya semua..


dah selesai makan... yang tinggal pinggan kosong jer.. semuanya makan sket lagi habis 2 keping not 50 papa heheheheh


dah makan, anak-anak nak main plak, bagilah main benda alah ni.. suka habis adik n kak long




so.. dah habis cerita untuk hari Ahad... seronok tak? hahahahaha skema nak mampos akak ni kan bercerita. takperlah, sebenarnya akak takder mood nih... sakit peyut... tapi nak buat macamner dari cerita ni basi, so uploadkan juga gambar-gambar ni. nanti untuk minggu depan kita cerita lain plak yer. harap-harap ada aktiviti yang lebih best.....

Pengertian Kawan

  • 1) kawan tu bkn mcm main FUTSAL. Mula-mula kejar..dah dapat sepak..
  • 2)kawan tu bkn mcm main SKATE. Mula-mula gosok..lepas tu pijak...
  • 3)kawan tu bkn mcm main RAGBI. Mula-mula tangkap.. dah dapat tendang..
  • 4)kawan tu bknnya mcm PAMPERS.. dah pakai, buang..
  • 5)kawan tu bknnya mcm BARANG KEMAS. Waktu baru beli pakai. Dah sengkek gadai.
  • 6)kawan tu bkn mcm PELANGI. Hari cerah takde..hujan gerimis baru muncul..
  • 7)kawan tu bkn mcm KERETA. Rosak skit,jual.. ambik kereta baru..
  • 8)kawan tu bkn mcm CHIPSMORE.. kejap ade kejap takde..
  • 9)kawan tu bkn mcm BANK. Bila dah takde duit, pegi kat sana ambik.
  • 10)lagi.....kawan tu mcm ape ye???? Haa..kawan tu mcm AWAK LA. . bila saya hantar msg, awak akan baca msg saya dgn teliti sampai habis.
Walau ape pun tanggapan org tentang kawan.. bagi saya, kawan tu penting. Seorang kawan takkan biarkan kawan dia menangis, sedih, berduka dan sebagainya. Kawan yg sejati adalah seorang kawan yang dapat diajak duduk dan berbincang tentang pelbagai perkara. Yang penting, seorang kawan akan sentiasa menghadiahkan senyuman kpd kawan-kawannya.. :)

Kotak cantik

semalam baru dapat kotak yang ditempah dengan pejal kotak cantik ni ku buat isi buku-buku kak long, dan baju-baju adik atau boleh isi CD adik atau boleh isi mainan adik... cantik kan... kalau korang nak juga leh bagi tau aku...



Jemput Makan Coklat Langkawi

Aksi anak-anak aku makan coklat yang berlambak kat umah kehkehkeh







Kutu CD Wuddah

Salam.
ramai yang bertanya pasa Kutu cd, sori aku dah terpadam infonya sori bebanyak heheheeh. ini detailnya yer.

  • terdiri dari 4 peserta
  • sebulan seorang peserta akan dapat 5 pcs Wuddah CD (3 pcs snap button bamboo, 2 pcs snap button microfiber)
  • sebulan peserta akan bayar RM56.70 selama 4 bulan
  • Duit kutu perlulah dimasukkan ke dalam Akaun Maybank setiap 27hb setiap bulan
  • Selepas pembayaran dibuat tolong informkan supaya aku boleh update rekod.

sas satu lagi pesanan dari penaja, sesiapa yang dah comform nak join tak boleh tarik diri yer, sebab kita dah set masa untuk pusingan kutu. harap maklum.


TQ
PENAFIAN: Pembacaan dan penerimaan pembaca tentang isi kandungan blog ini adalah atas tanggungjawab pembaca sendiri. Blogger tidak bertanggungjawab untuk apa jua masalah yang timbul. Alizareesya Punya Cerita
.